Malaysia perlu teroka sistem BESS jika mahu eksport TBB - Utusan Malaysia

Malaysia perlu teroka sistem BESS jika mahu eksport TBB

enegem
Ir Guntor Tobeng
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu meneroka sistem storan tenaga bateri (BESS) jika mahu menjadi pemain utama dalam mengeksport tenaga boleh baharu (TBB) di rantau ini.

BESS boleh bertindak sebagai pengikat antara projek penjanaan TBB bersepadu seperti ladang solar di mana ia menyimpan tenaga berlebihan yang dijana ketika tempoh puncak dan dilepaskan sewaktu pengeluaran rendah.

Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk (Dr.) Ir. Guntor Tobeng berkata, salah satu keperluan yang paling mendesak untuk kalis masa hadapan pada grid kuasa negara ialah menyepaduan projek TBB berskala besar dan ladang solar dengan sistem storan bateri yang boleh bertindak sebagai gam yang mengikat projek ini bersama-sama.

“Usaha ini memerlukan kerjasama antara kerajaan, industri dan ahli akademik bagi mewujudkan persekitaran kawal selia yang menyokong, menggalakkan penyelidikan dan pembangunan, serta mewujudkan perkongsian awam-swasta.

“Semuanya boleh mempercepatkan penggunaan storan bateri di seluruh Malaysia dan rantau Asean,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel bagi membincangkan topik bertajuk The Criticality of Battery Energy Storage In ASEAN Power Grid pada Persidangan Peralihan Tenaga 2023 anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini.

Persidangan itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Guntor, jika Malaysia dan negara-negara Asean lain mahu meneroka potensi mengeksport TBB, cabaran utama adalah mengatasi isu penjanaan kuasa yang terputus-putus oleh projek TBB berskala besar kerana ia boleh menjejaskan kestabilan grid jika tidak diurus dengan betul.

Oleh itu katanya, sistem storan tenaga penting untuk melancarkan keadaan turun naik ini dan memastikan bekalan kuasa yang konsisten.

“Ketika Malaysia dan negara-negara Asean lain mahu meneroka potensi untuk mengeksport TBB, sistem penyimpanan bateri akan memainkan peranan yang amat diperlukan dalam mengimbangi dan mengukuhkan tenaga.

“Ini memastikan tenaga yang dieksport memenuhi piawaian kualiti dan kebolehpercayaan negara pengimport.

“Tanpa penyelesaian penyimpanan tenaga yang teguh, daya maju ekonomi dan kemungkinan teknikal bagi inisiatif eksport tersebut akan terjejas,” katanya.

Pada masa ini, beliau berkata, sistem grid yang ada tidak dilengkapi keupayaan untuk menyepadukan penyelesaian penyimpanan tenaga berkapasiti tinggi yang mana ia memerlukan pelaburan dan reka bentuk semula.

“Cabaran lain terletak pada dasar dan peraturan. Kita boleh belajar daripada pengalaman di negara lain bahawa dasar dan insentif yang jelas memainkan peranan penting dalam penggunaan sistem storan tenaga.

“Kita boleh belajar daripada pengalaman negara-negara Asean yang lain seperti Singapura (projek 200MWj oleh EMA dan Sembcorp), Filipina (sehingga 1000MW oleh San Miguel) dan Thailand (projek rintis 16 dan 21MWj untuk penyepaduan TBB),” jelasnya.

Selain itu, katanya, tanpa penyelesaian penyimpanan tenaga yang teguh dan berdaya maju kemungkinan inisiatif untuk eksport akan terjejas.

“Jika negara-negara Asean berhasrat untuk mengeksport kuasa boleh diperbaharui ini, sistem storan tenaga adalah penting untuk mengimbangi dan mengukuhkan pengeluaran tenaga bagi memenuhi piawaian dan jangkaan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya