PETALING JAYA: Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) menarik balik larangan import yang dikenakan ke atas Supermax Corp Bh.d sejak Oktober 2021 atas dakwaan buruh paksa.
CBP dalam kenyataannya berkata, agensi itu akan membenarkan import sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan oleh Supermax Corp dan anak syarikat milik penuhnya memasuki AS dengan syarat ia mematuhi undang-undang AS, berkuat kuasa serta-merta.
Agensi itu berkata, pada 21 Oktober 2021, CBP mengeluarkan perintah pelepasan penangguhan (WRO) terhadap Supermax Corp dan anak syarikat milik penuhnya (Supermax Glove Manufacturing, Maxter Glove Manufacturing Sdn. Bhd. dan Maxwell Glove Manufacturing Bhd.).
Pegawai Kanan CBP Menjalankan Tugas Pesuruhjaya, Troy A Miller berkata, tindakan itu menggariskan tindakan berterusan usaha penguatkuasaan CBP dalam memacu pemulihan dan menghapuskan buruh paksa daripada rantaian bekalan.
“Setiap orang berhak mendapat layanan yang berperikemanusiaan dan bermaruah di tempat kerja, tidak kira siapa mereka atau di mana mereka tinggal dan itulah sebabnya kerja ini penting,” katanya.
CBP mula menguatkuasakan WRO terhadap Supermax Corp dan anak syarikat milik penuhnya berdasarkan bukti yang munasabah dalam 10 daripada 11 penunjuk kerja paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa.
Sebagai tindak balas kepada WRO, syarikat itu menunjukkan kepada CBP bahawa ia telah mengambil langkah untuk memulihkan penunjuk buruh paksa yang dikenal pasti dalam rantaian bekalannya.
Sementara itu, Penolong Pesuruhjaya Eksekutif Pejabat Perdagangan CBP, AnnMarie R Highsmith berkata, kewaspadaan agensi itu dalam isu ini menunjukkan kepada industri dan dunia bahawa mereka komited sepenuhnya untuk meningkatkan standard etika barangan yang memasuki AS dan menamatkan buruh paksa.
“Setakat ini pada tahun fiskal 2023, CBP telah mengeluarkan empat pengubahsuaian,” ujarnya.
CBP berkata, usaha penguatkuasaan buruh paksa telah menghasilkan peningkatan persekitaran hidup dan bekerja untuk berpuluh-puluh ribu pekerja, termasuk pembayaran balik lebih AS$50 juta (RM234.72 juta). – UTUSAN










