
KAFE kopi premium biasanya dibuka di kawasan bandar dan harga secawan kopi pula mencecah belasan hingga puluhan ringgit membuatkan hanya golongan tertentu sahaja yang berpeluang untuk menikmatinya.
Mengambil pendekatan yang berbeza, warung Zenia Coffee & Roastery House yang diusahakan Zainal Abidin Omar, 38, di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal menawarkan pengalaman menikmati kopi premium pada harga marhaen.
Menurut Zainal Abidin, minat yang mendalam dalam sektor makanan dan minuman (F&B) membuatkan dia nekad untuk mengusahakan perniagaan sendiri setelah mencuba pelbagai pekerjaan lain sebelum ini.
“Sejak di bangku sekolah lagi saya cuba berdikari untuk mencari minat yang sesuai. Saya mencuba pelbagai pekerjaan seperti tukang kayu, membuat parang dan menjadi pembantu gerai, namun tiada yang serasi.
“Saya juga pernah bekerja di beberapa kedai F&B terkemuka dan mendapati minat saya cenderung kepada sektor berkenaan. Akhirnya saya membuat keputusan untuk memulakan perniagaan sendiri pada 2011 dengan modal RM500,” katanya.
Setelah beberapa tahun berniaga, Zainal Abidin ditimpa kemalangan pada 2014 menyebabkan pergerakannya terbatas. Atas nasihat ibunya, Limah Said, 80, dia kemudian berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual sate dan menu kampung di hadapan rumah.
Pendapatan yang diperolehnya dikumpul untuk dijadikan modal permulaan untuk perniagaan kopi Zenia Coffee & Roastery House pada 2019 dengan modal sebanyak RM10,000.
“Zenia Coffee diinspirasikan daripada nama anak saya iaitu Madeeha Zenia Zainal Abidin. Mesin kopi pertama yang saya beli adalah jenama Breville dengan kos mencecah ribuan ringgit sebuah.
“Ketika perniagaan sedang meningkat naik, saya diuji dengan Covid-19 yang melanda negara pada Mac 2020. Pendapatan saya jatuh sehingga 70 peratus tetapi masih mampu bertahan dengan membuat penghantaran dari rumah ke rumah.
“Prestasi perniagaan semakin pulih selepas negara memasuki fasa norma baharu. Orang ramai sudah mula keluar untuk makan dan minum di kedai,” ujarnya.

Mengenai keputusannya membuka warung kopi premium di kawasan kampung, Zainal Abidin menjelaskan, tidak semua orang mampu untuk masuk berbelanja di kafe mewah dan berjenama.
Dia yang berperanan sebagai barista berkata, Zenia Coffee & Roastery House menyediakan kopi premium menggunakan biji kopi berkualiti yang diimport dari luar negara seperti Brazil, Tanzania dan Costa Rica bagi memberi peluang kepada masyarakat sekeliling merasai keaslian rasa kopi sebenar.
“Saya memanggang sendiri biji kopi menggunakan mesin khas melalui tunjuk ajar beberapa individu yang berpengalaman. Saya turut mempelajari seni latte atau Latte Art untuk memberikan visual yang lebih menarik pada secawan kopi.
“Seni latte bukan mudah begitu juga proses seduhan espresso yang berkualiti. Kopi akan dipanggang dan dicampur dengan kadar peratusan tersendiri mengikut ramuan yang saya pelajari selama ini.
“Walaupun dihasilkan secara premium, harga kopi yang saya jual sangat berpatutan iaitu serendah dari RM5 hingga RM12 secawan bergantung kepada penambahan perisa oleh pelanggan,” jelasnya.
Warung yang berkonsepkan kampung itu turut menawarkan menu lain seperti masakan panas dan roti John berbanding kedai premium yang biasanya kopi dihidang bersama kek, biskut dan pasta.
Berikutan sambutan menggalakkan daripada pelanggan, Zenia Coffee & Roastery House telah menambah cawangan baharu di Pasar Besar Melaka, Bachang yang dibuka setiap hari kecuali Isnin pada pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari. – UTUSAN










