Volkswagen Golf GTI I.Q Drive prestasi keseronokan

Volkswagen Golf GTI I.Q Drive prestasi keseronokan

Nampak sama tapi tak serupa. – UTUSAN/ANUAR NORICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA saya dipelawa untuk menguji pandu Volkswagen GTI, sungguhpun amat kenal kereta tersebut sudah pastinya jenis sport hatchback dan pastinya berprestasi tinggi, saya tidak menjangkakan bahawa versi MK8 ini dilengkapi dengan IQ DRIVE.

Bagi yang pernah membaca artikel saya mengenai ujipandu VW Arteon R-Line beberapa ming­gu yang lalu (anda masih boleh membacanya dalam utusan.com.my), apabila muncul perkataan IQ DRIVE ini, ianya bermaksud sistem keselamatan dan bantuan pemanduan elektronik yang direka khas untuk kereta-kereta premium daripada Volkswagen.

Sehubungan dengan itu, ayuh kita terus mengenal pasti apakah perbezaan GTI versi 2023 ini.

Menarik sama ada dari depan atau belakang. – UTUSAN/ANUAR NORICK

REKABENTUK

Jika dari rekabentuk luarannya, GTI ini masih mengekalkan asas rekaan yang sama. Sememangnya GTI ini adalah model sports hatchback dan beberapa kali ketika sesi pemanduan yang saya lakukan, telah terserempak dengan GTI-GTI yang lain di jalanraya. Dari pandangan mata kasar, jelas jenis dan rekaan lampu belakang yang dapat memberikan perbezaan di antaranya.

Juga apa yang dapat diperhatikan, agak ramai pemilik GTI ini lebih menggemari skim warna putih, kerana memang saya terjumpa terlalu banyak GTI putih berbanding warna lain.

Maka apakah bezanya versi 2023 ini dari segi rekabentuknya? Terus terang saya katakan, saya pun gagal mencari apakah perbezaan rupabentuknya daripada model 2022? Begitu pun, mungkin kerana rupanya yang begitu ikonik maka VW merasakan ia­nya tidak memerlukan perubahan ketara untuk pasaran 2023.

PEMANDUAN
Kita ceritakan dahulu hasil panduji tanpa kita kupas spesifikasinya untuk anda lebih memahami tentang keseronokan memandu GTI ini. Inilah kereta ‘mainan’ untuk mereka yang berada. Kenapa saya kata mainan? Ianya seperti sebuah kereta lumba dan memandunya membuatkan anda gagal mengawal nafsu seketika dan mula menekan pe­dal minyak. Tujahannya, memang tiada tandingan.

Pengendaliannya? Di mana anda halakan sterengnya, ianya tanpa lengah lagi menuju ke arahnya. Pengambilan selekoh-selekoh tajam pada jalan-jalan lama ternyata elemen GTI ini. Suspensinya agak ‘keras’ sedikit tetapi tidaklah sehingga menyakitkan pemandu dan penumpangnya.

Kestabilan GTI saya rumuskan disumbangkan oleh 3 perkara iaitu, pertama: tayar lebarnya yang bersaiz 18 inci (225/40-18), menyumbang kepada lebih banyak ruang permukaan tayar yang ‘melekat’ atas permukaan jalan. Kedua: sistem suspensinya begitu efisien, dibantu oleh sistem elektronik membantu GTI ini stabil ketika selekoh-selekoh yang diterjah. Ketiga: Kekuatan enjin 2.0 TSI Turbo dengan kuasa 245PS. Kuasa tork 370Nmnya akan dapat dirasai serendah 1,600 RPM dan ini sudah tentulah memberikan respon kepada kuasa seperti serta merta.

Walaupun mempunyai mode pemanduan yang bo­leh anda pilih, dan saya sepanjang masa memilih mode EKONOMI (ke­rana khuatir tidak berjaya mengawal kuasa penuh mode SPORTS), namun seolah-olah ianya tidak langsung menolak permintaan saya apabila saya inginkan tambahkan tujahan untuk memotong atau keluar simpang. Pada aras gear D sahaja, saya cuma perlu menekan pedal lebih agresif untuk dapatkan respons.

VW Golf GTI MK8 mempu­nyai shift pedal di tepi sterengnya. Sekiranya anda menekan pedal kiri ianya untuk menurunkan gear dan pedal kanan untuk menaikkan tahap gearnya. Jika anda membiarkan sahaja pedal tersebut, pemanduan anda kembali secara automatik. GTI mempunyai 7 kelajuan dan ia lebih mudah ‘diserahkan’ kepada kebijaksanaan sistem elektroniknya dan anda hanya memerlukan dua jari untuk mengalih tombol gear kepada 3 kedudukan iaitu R (Reverse), N (Neutral) dan D (Drive). Untuk menghidupkan enjin juga terletak di konsol tengah serta Brek Parkir juga mudah dihidupkan di konsol tengah juga.

Penukaran mode pemanduan ini juga `diperhebatkan’ dengan pertukaran lampu sokongan belakang meter dan paparan pemuka sistem infotainmen anda. Warna biru adalah ketika anda dalam mode Eco, dan bertukar merah apabila anda di mode Sports. Malah, sekiranya anda mengambil lebih masa untuk melaras sistem DCC (Dynamic Chasis Control) yang boleh anda pilih dari mode “Individual”, anda boleh menjadikan GTI ini sebagai kereta yang hanya mengikut spesfikasi anda.

Walaubagaimana pun, memandangkan kita ini bukan semuanya pelumba F1 dan jalanraya bukanlah litar Sepang, maka ketika pemanduan pada kadar biasa juga amat menyeronokkan. Memarkir GTI ini ketika di parkir pusat beli belah amat mudah dan darjah pemusingan tayar hadapannya agak besar dan memboleh­kan pemandunya memandu di mana-mana lorong dan sistem pemanduan progresifnya akan melaraskan kemudahan memutar stereng mengikut kelajuan yang anda bawa.

Faktor keselesaan juga tidak dilupakan oleh Volkswagen. Walaupun kerusi-kerusi yang dibekalkan dalam GTI disaluti Vienna Leather dan bercorak seper­ti kerusi kereta lumba, namun ianya tidak sekali pun memberikan perasaan tidak selesa pada pemandu mahupun penumpang.

KESIMPULAN
Kenapa pada artikel kali ini saya agak kurang untuk menceritakan spesifikasi dan sistem elek­tronik yang yang terdapat pada GTI IQ DRIVE? Ini kerana, terlalu banyak saya ceritakan dalam ruangan ini. Bagi anda yang menginginkan nombor-nombor untuk memuaskan hati anda, sila lah ke laman web Volkswagen.com.my untuk mendapatkan lebih informasi yang diinginkan.

Namun bagi saya, agak membazir ruang jika kita bercerita tentang terlalu banyak nombor sedangkan GTI adalah sebuah kereta yang direka untuk dipandu dan dinikmati keberadaannya dalam mode kelajuan apa pun yang anda inginkan.

Tanda harga RM 246,012.00 sebelum caj cukai jalan, insurans dan kos pendaftaran, ternyata ia bukanlah sebuah kereta hatchback biasa atau sport biasa. Umum sudah mengetahui kebolehan prestasi enjin GTI namun kini ia dilengkapi pula dengan sistem-sistem bantuan pemanduan elektronik yang dikhaskan untuk model-model premium Volkswagen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN