KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyemak undang-undang dan peraturan berkaitan keselamatan siber bagi memperkukuh kawal selia untuk menangani ancaman teknologi baharu muncul seperti internet kebendaan (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, landskap keselamatan siber telah menyaksikan lonjakan dalam ancaman yang semakin canggih dan berterusan.
Justeru kata beliau, semua pihak perlu bekerjasama kerana tiada satu entiti mahupun kerajaan yang boleh menangani ancaman itu secara bersendirian.
“Teknologi ini menawarkan peluang yang besar tetapi juga datang dengan risiko yang ketara. Pada masa ini, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), sedang merangka Rang Undang-Undang Keselamatan Siber, menghimpunkan usaha daripada pelbagai agensi kerajaan dan industri untuk mengukuhkan daya tahan dan tindak balas Malaysia terhadap ancaman siber,” katanya.
Beliu berkata demikian dalam ucaptama di ekspo Cyber Digital Services Defense & Security Asia (CyberDSA) 2023 bertema ‘Memajukan Pendigitalan dan Keselamatan Melalui Kerjasama’di sini, semalam. Ia dianjurkan bersama oleh CyberSecurity Malaysia dan Aerosea Exhibitions Sdn. Bhd.
Ekspo selama tiga hari berakhir esok, bertujuan mewujudkan platform untuk rangkaian, pertukaran idea dan menjalin pakatan yang akan memacu negara ke arah digital yang lebih selamat pada masa hadapan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Siber akan dibentangkan di Parlimen pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan.
Katanya, ia mencerminkan komitmen kerajaan dan sebagai tindak balas kepada kesukaran mewujudkan struktur undang-undang yang sesuai dengan ancaman siber yang berkembang.
Selain itu, ia juga untuk menggalakkan tadbir urus proaktif untuk menangani ancaman yang muncul dan membolehkan tindak balas yang lebih berkesan.
Di samping itu katanya, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) akan diperkukuh sebagai pihak berkuasa berkanun yang menerajui perlindungan data peribadi hasil daripada semakan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010. – UTUSAN










