Sunway Property beli tanah RM115 juta di Rawang

Sunway Property beli tanah RM115 juta di Rawang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sunway Property, melalui anak syarikat milik penuhnya, Sunway Rawang City Sdn. Bhd. (SRCSB) menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) untuk memperoleh tanah pegangan bebas perdana seluas 245 ekar di Kuang, Rawang daripada Kauthar Equities Sdn. Bhd. dengan pertimbangan pembelian RM115 juta.

Pengambilalihan dan cadangan pembangunan tanah itu akan dijalankan melalui usaha sama antara Sunway City Sdn. Bhd. (anak syarikat milik penuh Sunway Berhad) dan Amal Resources Sdn. Bhd. yang telah menandatangani Perjanjian Usaha Sama untuk melanggan dalam SRCSB sebagai syarikat usaha sama.

Terletak bersebelahan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar), tapak seluas 245 ekar itu menawarkan sambungan yang sangat baik dan terletak hanya 35 minit pemanduan dari pusat bandar serta dalam jarak sejam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang.

Lokasi yang luar biasa menjadikannya tapak yang ideal untuk Taman Teknologi Perindustrian yang dicadangkan untuk melengkapkan kawasan perindustrian yang sedang berkembang di wilayah Kuang dan Rawang seperti Kawasan Perindustrian Kuang dan Taman Perindustrian Rawang.

Taman Teknologi Perindustrian yang dicadangkan akan terdiri daripada kilang, gudang dan komponen komersial dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion.

Pengarah Urusan Sunway Property, Sarena Cheah berkata, pengambilalihan ini menandakan dedikasi kumpulan untuk membangunkan Taman Teknologi Perindustrian masa hadapan yang menyepadukan teknologi, kemampanan dan inovasi untuk memenuhi keperluan perniagaan moden serta menambah portfolio pembangunan perindustrian yang sentiasa berkembang.

“Pemerolehan strategik itu sejajar dengan komitmen Sunway Property untuk memacu inovasi, teknologi dan pembangunan mampan dalam sektor perindustrian sambil memenuhi keperluan perniagaan yang berkembang dalam era digital.

“Kami berharap dapat menyumbang untuk merangsang inovasi, pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan menarik pelaburan dengan projek baharu ini,” katanya dalam kenyataan.

Rekod prestasi Sunway Property yang terbukti dalam pembangunan mampan dan komitmennya untuk memanfaatkan teknologi akan memastikan Taman Teknologi Perindustrian di Kuang, Rawang akan memenuhi permintaan dalam sektor perindustrian dengan kukuh serta menetapkan penanda aras baharu bagi sektor itu secara keseluruhan.

Dengan jumlah simpanan tanah seluas 3,068 ekar dan potensi GDV sebanyak RM49.7 bilion dalam tempoh lebih 15 tahun, Sunway Property bersedia untuk pertumbuhan yang mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN