PETALING JAYA: Stesen Janakuasa Edra Melaka (EMPP) telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Stesen Janakuasa Terbaik – Kategori Gas oleh POWER Magazine di Persidangan POWER Experience yang diadakan baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pegawai Operasi Edra, Anbarasan Sellappan berkata, anugerah tersebut mengiktiraf sistem pengurusan cemerlang EMPP yang direkodkan pada 2022 melalui penggunaan teknologi canggih, serta kemampuannya untuk mencapai kecekapan maksimum dan pada masa yang sama, meminimumkan impak alam sekitar.
“Ia adalah bukti amalan operasi dan penyelenggaraan (O&M) berhemat oleh pasukan O&M yang komited dalam memastikan stesen janakuasa itu berjalan dengan mampan, selamat dan ekonomik,” katanya dalam kenyataan.
Dibina, dimiliki dan dikendalikan oleh Edra Energy Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat milik penuh Edra Power Holdings Sdn Bhd (Edra), stesen janakuasa turbin gas kitaran bergabung (combined cycle gas turbine atau CCGT) itu adalah yang terbesar di Asia Tenggara setakat ini, dengan jumlah kapasiti terpasang sebanyak 2,242MW.
Stesen janakuasa rendah karbon ini telah mula beroperasi sepenuhnya pada 28 Februari 2022. Ia terdiri daripada 3 blok penjanaan yang menampilkan teknologi turbin gas 9HA.02 yang paling canggih dan cekap di dunia.
Anbarasan berkata, dalam menyahut saranan Kerajaan Malaysia untuk membina, memiliki dan mengendalikan stesen janakuasa di Semenanjung Malaysia yang disokong oleh komitmen mitigasi perubahan iklim, EMPP bersedia menyediakan bekalan elektrik yang selamat dan boleh dipercayai pada tarif kompetitif dari segi ekonomi.

Secara khususnya, EMPP mampu menjana kira-kira 19.6GW elektrik setiap tahun, menyumbang kira-kira 10% kepada jumlah permintaan tenaga di Semenanjung Malaysia, bersamaan menyalurkan bekalan tenaga sehingga 4 juta kediaman untuk 21 tahun akan datang pada kecekapan tinggi dengan keupayaan pembakaran pada pelepasan Nitrogen Oksida (NOx) yang rendah.
Selari dengan ‘Utamakan Keselamatan, Utamakan Kualiti, Mengejar Kecermelangan’ sebagai prinsip asasnya, EMPP telah mencapai hampir 15 juta jumlah jam kerja dijalankan tanpa sebarang kemalangan sejak pembinaannya pada Disember 2017.
Stesen janakuasa itu juga menyediakan banyak peluang ekonomi di negara ini, di mana ia menarik pelaburan domestik dan antarabangsa, melonjakkan pembangunan perindustrian dan komersil dan sekaligus, memacu lagi ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
Di samping menggalakkan kelimpahan tenaga, EMPP akan terus memacu pembangunan sosio-ekonomi khususnya di Melaka melalui penyediaan peluang pekerjaan di kalangan warga tempatan serta pemerkasaan komuniti dalam bidang pendidikan, sukan dan kebajikan.
“Melangkah ke hadapan, Edra komited dalam melaksanakan usaha terbaiknya untuk memastikan EMPP menyediakan bekalan kuasa yang selamat dan bersih dengan kecekapan, kebolehpercayaan dan standard keselamatan yang tertinggi,” katanya.
Dilancarkan pada 1882, POWER Magazine ialah majalah perniagaan-ke-perniagaan tertua yang diterbitkan secara berterusan.
Beoperasi selama lebih empat dekad, ia memberi penghormatan kepada syarikat yang berprestasi tinggi dalam industri penjanaan elektrik dengan pelbagai anugerah stesen janakuasa tahunan.
Pemenang dipilih berdasarkan pencalonan yang dikemukakan oleh pembekal, pereka bentuk, pembina dan pengendali stesen janakuasa. – UTUSAN










