SHAH ALAM: Pengendali restoran Westside Coffee, SACC Food Chain Sdn. Bhd. (SFC) merancang membuka 14 cawangan baharu restoran itu di sekitar Lembah Klang menjelang 2027, membabitkan pelaburan kira-kira RM4 juta.
Pengurus Operasinya, Philip Ko berkata, rancangan itu dipacu oleh permintaan yang kukuh dalam industri makanan tempatan, dan pembukaan dibuat secara berperingkat dengan cawangan kedua di Seksyen 14 di sini, menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata, pembukaan setiap cawangan dijangka menelan kos antara RM200,000 hingga RM300,000 bergantung kepada saiz dan lokasi.
“Selain itu, kami juga merancang untuk membuka dapur berpusat di Seksyen U12 menjelang akhir tahun ini, sebagai bersediaan awal sebelum pengembangan rangkaian restoran dibuat,” katanya selepas majlis pelancaran menu baharu Westside Coffee, `The Big Brunch’ sempena ulang tahun PKNS ke-59.
SFC ialah anak syarikat SACC Convec Sdn. Bhd. yang juga anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Menu ‘The Big Brunch’ menawarkan pilihan hidangan sarapan yang pelbagai dari telur omelet hingga cendawan berkrim yang lazat dan bacon panggang.
Sempena pelancaran menu baharu itu, Westside Coffee menawarkan harga promosi kepada kakitangan PKNS bagi menghargai sokongan dan kerjasama mereka selama ini.
Mengulas lanjut, Philip berkata, pihaknya yang bersedia untuk menghadapi persaingan dalam industri berkenaan, menyasarkan pelaburan yang dibuat akan memberi pulangan dalam tempoh dua hingga tiga tahun selepas pembukaannya.
Untuk itu jelasnya, syarikat akan mengukuhkan jenama restoran berkenaan melalui pelbagai kempen dan penawaran menu-menu berkualiti serta berkhasiat bagi menarik lebih ramai pelanggan. – UTUSAN










