KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) yakin Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada 12 Ogos ini, tidak akan memberi kesan buruk ke atas aliran modal atau prestasi pasaran.
Malah, Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin yakin, sentimen pasaran modal yang baik dan menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini akan berterusan selepas PRN berlangsung.
Justeru katanya, para pelabur tidak perlu bimbang dengan senario politik yang berlaku sekarang kerana PRN hanya di peringkat negeri, sedangkan kerajaan di peringkat persekutuan kekal kukuh.
“Pilihan Raya berlangsung di seluruh dunia dan mereka juga tidak bimbang. Kerajaan Persekutuan kita mantap dan utuh. Ini hanya PRN, jadi ia tidak memberi kesan.
“Malah, sejak beberapa minggu yang lepas kita menyaksikan peningkatan dalam pasaran modal yang merupakan sesuatu yang baik.
“Saya yakin sentimen ini akan berterusan untuk masa depan dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran kohort pertama Program Kepimpinan InvestED di Asia School of Business (ASB) di sini, semalam.
Terdahulu, dalam ucapannya, Awang Adek berkata, pasaran modal memerlukan ‘suntikan’ daripada belia, berikutan hanya tujuh peratus pelabur dalam pasaran saham di bawah umur 45 tahun dan kebanyakan remisier berumur 50 tahun ke atas.
Beliau berkata, bagi mereka yang berumur antara 20 hingga 30 tahun, bilangan pelabur muda sejati adalah sangat kecil.
“Seseorang akan bimbang tentang masa depannya jika orang muda tidak tertarik dengan industri ini. Begitu juga, kita memerlukan lebih ramai golongan muda untuk melabur dalam pasaran modal bagi memastikannya rancak pada masa hadapan.
“Oleh itu, kami memerlukan eksekutif muda untuk menarik pelabur muda. Mereka lebih celik teknologi dan lebih memahami antara satu sama lain,” ujarnya.
Program Kepimpinan InvestED yang julung kali diadakan terdiri daripada modul pembelajaran komprehensif dan interaktif selama sebulan. Ia diikuti dengan latihan sambil bekerja selama enam bulan dengan rakan kongsi InvestED daripada peserta industri dalam pasaran modal.
SC mereka bentuk modul pembelajaran sebulan dengan kerjasama ASB. Kira-kira 200 graduan baharu akan menjalani modul pembelajaran selama sebulan yang dipilih susun khas di ASB di Kuala Lumpur.- UTUSAN










