KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan kempen 1Bulan 1Wakaf dengan sasaran dana sebanyak RM35.4 juta bagi menampung perbelanjaan pembinaan semula lima buah surau terpilih.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, sebagai institusi yang diamanahkan oleh MAIWP untuk mengutip wakaf, PPZ-MAIWP rasa bertanggungjawab untuk mempelbagaikan kaedah promosi agar amalan berwakaf menjadi sinonim dengan masyarakat umum.
Jelasnya, tujuan kempen untuk mengutip dana bagi menampung kos perbelanjaan pembangunan dan pembinaan semula lima buah surau terpilih di Wilayah Persekutuan.
“Kos keseluruhan projek dijangka menelan belanja hampir RM35.4 juta dan kami masih memerlukan RM33.4 juta untuk merealisasikan projek-projek wakaf khas itu.
“Sebagai contoh, surau Madrasah Houtihiyyah mempunyai masalah untuk menampung bilangan jumlah jemaah yang kian bertambah terutamanya untuk solat Jumaat.
“Jadi, kami memutuskan untuk menaik tarafkan kemudahan yang akan memakan kos sebanyak RM6 juta, dengan pembinaan dua buah bangunan tambahan merangkumi ruang solat tambahan, bilik pengurusan jenazah, pejabat pentadbiran, tempat parkir kereta, dewan serbaguna dan lain-lain,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Abdul Hakim Amir berkata, kempen juga bertujuan memberi makluman kepada masyarakat Islam tentang perkhidmatan dan kemudahan saluran bayaran wakaf tunai di samping memperkenalkan jenama PPZ-MAIWP sebagai institusi kutipan wakaf tunai di Wilayah Persekutuan.
“Kami amat mengharapkan sokongan orang ramai dalam menjayakan kempen ini kerana ini merupakan tahun pertama untuk kami memperkasakan wakaf dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Lima surau terpilih adalah Madrasatul Gouthiyyah, Brickfield; Madrasah Hidayatul Mustaqimah Taman Beringin, Jinan Utara; Surau dan KAFA Al-Syakirin Keramat Wangsa; Surau Jumaat Al-Hijrah Presint 14, Putrajaya dan Surau Muhammad Al-Fatih Kampung Batu Muda Tambahan.
Kempen berlangsung selama lima bulan mulai 1 Ogos hingga 31 Disember 2023.
Pembayar juga berpeluang memenangi hadiah-hadiah istimewa seperti Haier 50° Android TV. bagasi, Samsung Galaxy Tab A8, Samsung Galaxy A24, jam tangan G-Shock serta hadiah bulanan seperti jam tangan Buruj dan eBaucar RM50 Foodpanda.
Sumbangan wakaf boleh dibuat secara tunai atau pindahan bank di kaunter-kaunter PPZ-MAIWP dan kaunter zakat dan wakaf bergerak, secara dalam talian di wakafppz.com.my, potongan gaji dan ejen-ejen lantikan PPZ-MAIWP seperti Tulus, RAIZ dan UMobile. – UTUSAN










