PETALING JAYA: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menganjurkan Kejohanan Boling PPZ-MAIWP untuk mengeratkan lagi hubungan dengan syarikat-syarikat prospek dan pembayar zakat.
Menurut PPZ-MAIWP, kejohanan yang berlangsung di Wangsa Bowl, IOI Putrajaya kelmarin itu juga merupakan antara pendekatan PPZ-MAIWP bagi menyebarluaskan lagi dakwah zakat iaitu meningkatkan kesedaran menunaikan zakat khususnya dalam kalangan syarikat korporat dan organisasi perniagaan.
Katanya, sebanyak 24 pasukan daripada 14 syarikat telah menyertai kejohanan tersebut, antaranya Harta Maintenance Sdn. Bhd., Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Payment Network Malaysia Sdn. Bhd. (Paynet), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Kolej Poly-Tech Malaysia dan FGV Holdings.
Turut serta, Pelaburan Hartanah Berhad, University Poly-Tech Malaysia, Alhijrah Media Corporation, Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur, Hospital Pusrawi, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan MSM Prai Berhad.
Kejohanan dimenangi oleh pasukan FGV Holdings yang membawa pulang wang tunai RM1,200 dan piala. Naib juara dimenangi pasukan PPZ-MAIWP dan ketiga, PUNB yang masing-masing menerima wang tunai RM1,000 dan RM800 serta piala.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan PPZ-MAIWP, Azhan Ismail berkata, setakat Januari hingga Jun 2023, sebanyak 2,153 pembayar zakat perniagaan terdiri dari pelbagai jenis perniagaan dan individu telah menunaikan zakat perniagaan berjumlah lebih RM57.15 juta. – UTUSAN










