PETALING JAYA: Pesanan dalam tangan Southern Cable Group Berhad (Southern Cable) melebihi RM1.0 bilion selepas pengeluar kabel dan wayar berkenaan berjaya memperoleh kontrak bernilai RM332.1 juta.
Southern Cable dalam satu kenyataan berkata, kontrak terbesar kumpulan itu setakat ini diperoleh melalui anak syarikat milik penuh kumpulan Southern Cable Sdn. Bhd. bagi membekalkan kabel kuasa kepada gergasi utiliti negara Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Katanya, Surat Anugerah (LOA) yang diperoleh anak syarikatnya itu, melibatkan pembekalan dan penghantaran kabel bawah tanah pelbagai saiz dan konduktor kepada Bahagian Rangkaian Pengedaran TNB bagi tempoh setahun mulai Julai 2023.
“Pesanan semasa kumpulan dalam tangan melebihi daripada RM1.0 bilion yang ditetapkan sehingga 2026 terutamanya meliputi pembekalan kabel dan wayar kepada industri, disamping pembekalan sistem penerus dan bateri, serta lain-lain produk yang berkaitan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Southern Cable, Tung Eng Hai dalam kenyataan sama berkata, LOA baharu itu menunjukkan keyakinan TNB terhadap keupayaan syarikat itu bagi menghasilkan produk berkualiti disamping memenuhi keperluan infrastruktur tenaga negara yang semakin meningkat.
“Tempahan yang semakin besar di dalam tangan kami mengukuhkan lagi kedudukan Southern Cable sebagai pengeluar kabel dan wayar terkemuka serta menyokong momentum yang kukuh untuk mengukuhkan pendapatan kami.
“Syarikat turut menerima permintaan yang stabil daripada pelanggan lain yang terdiri daripada kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta penjual semula,” katanya.
Tambah beliau, Southern Cable turut menyasarkan untuk merebut peluang pertumbuhan dengan memanfaatkan situasi pasaran semasa.
Kejayaan berkenaan sekaligus menjadikan nilai kontrak bekalan yang diperoleh Southern Cable bagi setakat ini bagi 2023 melebihi RM500 juta melalui TNB sebanyak RM460 juta dan Telekom Malaysia Berhad (TM) sebanyak RM44.8 juta bagi kontrak bekalan sistem bateri.
Southern Cable merupakan pembekal berdaftar untuk kabel dan wayar dengan TNB dan mempunyai hubungan perniagaan yang kukuh sejak 19 tahun lalu.
Selain TNB, kumpulan juga membekalkan kepada pembekal utiliti lain seperti Sabah Electricity Sdn. Bhd. dan Sarawak Energy Berhad. – UTUSAN










