PETALING JAYA: Perdagangan borong dan runcit mencatatkan nilai jualan berjumlah RM138.5 bilion, meningkat 4.3 peratus tahun ke tahun pada Jun lalu.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai jualan perdagangan borong dan runcit bagi suku tahunan berjumlah RM412.4 bilion, tumbuh 5.7 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan sebanyak 4.3 peratus bagi perdagangan borong dan runcit pada Jun disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 5.8 peratus atau RM3.2 bilion kepada RM59.4 bilion.
“Perdagangan borong juga berkembang dengan mencatatkan 3.1 peratus atau RM1.9 bilion kepada RM62.4 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan peningkatan 3.4 peratus atau RM0.6 bilion untuk berada pada RM16.7 bilion,” katanya dalam kenyataan Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit Jun 2023.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit menokok 0.3 peratus atau RM0.5 bilion. Pertumbuhan disumbangkan oleh perdagangan runcit dengan kenaikan sebanyak RM0.6 bilion atau 1.0 peratus, diikuti subsektor perdagangan borong sebanyak 0.3 peratus atau RM0.2 bilion. Walau bagaimanapun, kenderaan bermotor susut 1.9 peratus.
Bagi prestasi mengikut subsektor pula, Ketua Perangkawan memaklumkan, pertumbuhan 5.8 peratus bagi perdagangan runcit disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang terus menunjukkan tren peningkatan sebanyak 10.9 peratus atau RM2.2 bilion kepada RM22.8 bilion.
Kumpulan lain dalam subsektor itu turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit bahan api kenderaan 8.5 peratus; jualan runcit makanan, minuman dan tembakau 12.6 peratus; jualan runcit di kedai pengkhususan 2.7 peratus; jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar 2.0 peratus dan jualan runcit di gerai dan pasar 5.8 peratus.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor itu melonjak 1.0 peratus dengan hampir semua kumpulan mencatatkan pertumbuhan positif, kata beliau.
Mohd. Uzir turut menjelaskan, pertumbuhan 3.4 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor didorong oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor dan penyelenggaran dan pembaikan kenderaan bermotor masing-masing 18.3 peratus dan 20.0 peratus.
“Walau bagaimanapun, jualan kenderaan bermotor turun 3.8 peratus. Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini menyusut -1.9 peratus, didorong oleh jualan kenderaan bermotor dengan -4.7 peratus,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai prestasi suku tahunan, beliau berkata, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 5.7 peratus pada suku kedua tahun ini disokong oleh subsektor perdagangan runcit yang berkembang RM13.0 bilion atau 7.8 peratus kepada RM178.7 bilion.
Bagi indeks jualan runcit melalui internet, indeks merekodkan pertumbuhan 1.5 peratus tahun ke tahun pada Jun 2023 berbanding -0.8 peratus pada Mei 2023. – UTUSAN










