PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengadakan Dialog Industri SC Tahunan 2023 (SCID 2023) pada minggu lepas, bertujuan membincangkan bidang-bidang utama untuk terus dibangunkan bagi mengembangkan pasaran modal.
Menurut SC, dialog tahunan yang disertai 60 pemimpin dan wakil kanan industri pasaran modal itu diadakan berikutan pelancaran Ekonomi MADANI oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai 2023 lalu.
Katanya, wakil tersebut berkongsi idea dan cadangan serta mengetengahkan isu dan cabaran dalam pelbagai topik di bawah tiga bidang luas iaitu peluang pelaburan, keterangkuman pendanaan dan pembaharuan dalam pasaran modal.
“Ini termasuk memperkukuh usaha mempromosi pasaran modal untuk termasuk membina saluran penerbit domestik yang lebih kukuh, merancakkan pasaran, meluaskan kumpulan pelabur, serta mempergiatkan usaha berkaitan agenda kelestarian dan kepimpinan Malaysia dalam pasaran modal Islam (ICM).
“Peserta industri juga menyatakan penghargaan mereka terhadap langkah-langkah pasaran modal yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, serta yang diumumkan pada Februari dan Jun tahun ini,” katanya dalam kenyataan.
Tambah SC, perbincangan di SCID 2023 tertumpu kepada tiga langkah pasaran modal meliputi mengurangkan saiz lot dagangan semasa di Bursa Malaysia daripada 100 unit kepada tahap yang lebih berpatutan.
“Kedua, membolehkan dagangan saham pecahan oleh pelabur melalui broker saham dan membolehkan pemindahan automatik untuk syarikat yang tersenarai di Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia, tertakluk kepada kriteria tertentu,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, dengan meneruskan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, SC boleh memanfaatkan kepakaran mereka untuk memacu pembaharuan dan penambahbaikan yang diperlukan.
Jelasnya, ini bagi mencapai ke arah mengukuhkan kerancakan, keterangkuman dan daya saing pasaran modal Malaysia.
Menurutnya, pengurangan saiz lot dagangan dan pengenalan dagangan pecahan saham yang didagangkan di Bursa Malaysia akan menyediakan akses yang lebih besar kepada kumpulan pelabur yang lebih luas, terutamanya pelabur runcit dan muda untuk melabur dalam pasaran saham dan membina portfolio yang seimbang.
Ini juga akan meningkatkan dagangan dan kecairan yang akan memberi manfaat kepada syarikat dan pelabur serta mewujudkan persekitaran pasaran yang lebih aktif dan dinamik.
“Bursa Malaysia sedang meninjau untuk mengurangkan lot dagangan daripada 100 saham kepada tahap yang sesuai dengan mengambil kira keperluan untuk pendekatan pelaksanaan paling berkesan dengan broker bersetuju untuk menyemak semula komisen minimum semasa bagi membolehkan pengurangan saiz lot dagangan.
“Selanjutnya, SC juga telah bersetuju untuk memberikan fleksibiliti kepada broker sekuriti untuk menawarkan dagangan pecahan bagi meningkatkan akses pelabur runcit kepada pasaran saham,” ujarnya.
Berhubung dengan pemindahan automatik syarikat yang disenaraikan di Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia, beberapa isu dan prinsip yang lebih luas yang dibincangkan di SCID 2023 termasuk mempunyai kriteria yang bermakna untuk memastikan kemampanan syarikat yang digalakkan untuk memenuhi keperluan untuk terus kekal di Pasaran Utama.
Awang Adek berkata, proses pemindahan itu akan memberi manfaat kepada syarikat Pasaran ACE yang berkelayakan dengan memberikan mereka peluang yang lebih besar dan akses kepada kumpulan pelabur yang lebih besar.
“Kami menyasarkan kriteria kelayakan untuk pemindahan automatik siap menjelang akhir 2023, manakala prinsip luas untuk dagangan pecahan akan dikeluarkan pada akhir suku ketiga tahun ini,” jelasnya. – UTUSAN










