PETALING JAYA: MUFG Bank (Malaysia) Berhad, anak syarikat Mitsubishi UFJ Financial Group, Inc. (MUFG), melengkapkan Kemudahan Pembiayaan Perdagangan Hijau Islam yang pertama untuk Sime Darby Motors Sdn. Bhd. (SDM).
Urus niaga hijau itu adalah sebahagian daripada kemudahan pembiayaan Islam bernilai AS$50 juta (RM231.37 juta) yang terdiri daripada dua bahagian bernilai AS$25 juta (RM115.68 juta) setiap satu.
Urus niaga itu menandakan terbitan kewangan mampan pertama untuk SDM dan transaksi mempamerkan kemudahan pembiayaan perdagangan hijau Islam pertama MUFG, menekankan keupayaan bank untuk membangunkan penyelesaian perbankan yang sejajar dengan prinsip pembiayaan syariah dan disesuaikan dengan strategi kemampanan pelanggan.
Kemudahan perdagangan hijau Islam MUFG terdiri daripada modal kerja patuh syariah dan produk perdagangan yang sejajar dengan “Projek Hijau Layak” yang ditetapkan dalam Prinsip Pinjaman Hijau dan mengikut garis panduan Bank Negara Malaysia (BNM).
Selaras dengan strategi jangka panjang SDM untuk meningkatkan portfolio kenderaan hijaunya, hasil urus niaga akan digunakan untuk keperluan modal kerja yang berkaitan dengan kenderaan elektrik dan alat ganti serta keperluan berkaitan hijau yang lain.
Pengarah Urusan Sime Darby Motors, Andrew Basham berkata, urus niaga itu merupakan peristiwa penting kerana ia merupakan transaksi kemudahan perdagangan jangka pendek pertama yang bersifat Islamik dan hijau untuk MUFG dan SDM.
“Kami teruja untuk mendapatkan pembiayaan hijau ini dengan MUFG. Ini mencerminkan komitmen kami untuk melibatkan diri dalam perkongsian mampan, dalam memacu inovasi dan teknologi yang mampan.
“Ia menyokong matlamat kemampanan kami dan pada asasnya membantu kami untuk menyampaikan masa depan yang mampan dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Kewangan ESG MUFG untuk Asia Pasifik, Colin Chen berkata, MUFG tidak berbelah bahagi dalam fokusnya untuk membangunkan penyelesaian kewangan mampan yang inovatif merentas sektor berbeza untuk melaksanakan peralihan yang adil dan saksama di seluruh Asia.
“Struktur unik transaksi ini menyelaraskan lagi program pembiayaan SDM dengan matlamat mereka untuk menghijaukan portfolio kenderaan mereka,” ujarnya. – UTUSAN










