Mobiliti hijau: BMW Group, Gentari jalin kerjasama

Mobiliti hijau: BMW Group, Gentari jalin kerjasama

MAJLIS pertukaran dokumen kerjasama antara Gentari dan BMW Group.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembekal solusi tenaga bersih, Gentari Sdn. Bhd. (Gentari), melalui anak syarikat milik penuhnya Gentari Green Mobility Sdn. Bhd., telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BMW Group Malaysia (BMW) bagi meneroka pelaksanaan perkhidmatan dan solusi mobiliti hijau, di samping pengerahan tenaga boleh baharu.

Gentari dan BMW ketika ini sedang aktif berganding bahu untuk meneroka peluang-peluang kolaborasi dalam medan seperti pemasangan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) di pelbagai fasiliti.

Ia termasuk jaringan wakil pengedar BMW; aneka solusi bagi kumpulan (fleet) kenderaan elektrik di pasaran Malaysia; perkhidmatan nilai tambah bagi pemilik EV BMW termasuk pelan langganan pengecasan EV, ruang persinggahan EV (electric forecourts), kemudahan pengecasan mudah alih; dan pengerahan infrastruktur tenaga boleh baharu secara bersama.

Majlis menandatangani MoU itu dihadiri oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari & Ketua Pegawai Eksekutif Green Mobility, Shah Yang Razalli dan Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser.

“Kami berasa teruja untuk menjalin kerjasama dengan sebuah jenama automotif yang amat berprestij seperti BMW, yakni bagi meluaskan lagi aksesibiliti perkhidmatan dan solusi mobiliti hijau di Malaysia.

“Sementara itu, keupayaan Gentari dalam arena tenaga boleh baharu juga akan membantu mewujudkan rantaian nilai tenaga hijau yang komprehensif, dan bersama-sama, kita dapat membuka haluan bagi alaf yang lebih hijau dan lestari,” kata Shah Yang dalam kenyataan.

Hans de Visser pula berkata, sebagai pengeluar kenderaan premium terkemuka dengan portfolio Kenderaan Elektrik yang terbesar di Malaysia, BMW Group amat berbesar hati untuk berkolaborasi dengan Gentari bagi membangunkan banyak lagi solusi, perkhidmatan dan infrastruktur mobiliti.

Beliau berharap, kerjasama itu menggalakkan kelahiran dan amalan teknologi yang bersih dan bertanggungjawab dalam industri automotif negara.

“Saya sudah dapat membayangkan yang usaha sama ini bakal mencorak landskap mobiliti masa depan Malaysia, menyediakan banyak lagi solusi yang tercipta melalui pembangunan lestari dan juga usaha sirkulariti,” katanya.

Sejak pengenalannya pada Jun 2022, Gentari telah giat meluaskan rangkaian mobiliti hijaunya.

Setakat ini, Syarikat melalui entiti-entiti sekutunya, telah mengerahkan lebih daripada 160 titik pengecasan di Malaysia dan lebih daripada 170 titik pengecasan di India.

Berbekalkan misi untuk menjadi rakan solusi tenaga hijau yang paling bernilai di benua Asia Pasifik menjelang 2030, Gentari menyasarkan untuk menguasai lebih 10 peratus dalam syer pasaran titik pengesan serta penawaran ‘Kenderaan sebagai Servis’ (VaaS), merentasi pasaran-pasaran utama di Asia Pasifik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN