Mercury Securities sasar raih RM39.27 juta daripada IPO

Mercury Securities sasar raih RM39.27 juta daripada IPO

MAJLIS pelancaran prospektus Mercury Securities di Bursa Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mercury Securities Group Berhad (Mercury Securities) menyasarkan mengumpul RM39.27 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).

IPO itu membabitkan terbitan 157.09 juta saham pada harga terbitan 25 sen sesaham. Mercury Securities dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 19 September 2023.

Menurut kenyataan Syarikat itu, perolehan daripada IPO berkenaan akan diperuntukan untuk perkhidmatan kemudahan pembiayaan margin sebanyak RM26.86 juta, menambah baik program pendigitalan dan aktiviti pemasaran Kumpulan (RM2.88 juta), modal kerja (RM4.63 juta) dan perbelanjaan penyenaraian (RM4.90 juta).

Pengarah Urusannya, Chew Sing Guan berkata, Syarikat merancang untuk memanfaatkan enyenaraian untuk terus berinovasi, mendigitalkan dan mengembangkan penawaran produk dan perkhidmatan.

“Dengan rangkaian pelbagai produk dan perkhidmatan yang kami tawarkan sekarang, termasuk pembrokeran saham, kewangan korporat, perdagangan proprietari, pembiayaan margin dan khidmat nasihat penyelidikan, perkhidmatan penjaga dan penama, kami sedang memulakan perjalanan yang bukan sahaja merupakan tonggak korporat, tetapi juga batu loncatan bagi kumpulan kami untuk mencapai lebih tinggi dan lebih dalam dalam pasaran modal,” katanya.

Beliau berkata, Mercury telah berjaya mendapatkan keuntungan setiap tahun sejak bermula operasi pada tahun 1992, walaupun pasaran saham mengalami pasang surut.

Malah katanya, Syarikat akan menjadi syarikat broker saham pertama yang mencari dan memperoleh penyenaraian IPO di Bursa Malaysia dalam 20 tahun terakhir.

“Seiring dengan kami memulakan babak baru ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan berbakat dan berdedikasi kami, serta pelanggan kami yang baru dan yang lama, dan juga mereka yang belum lagi menyertai kami. Pasaran modal sentiasa berubah dan Mercury akan berusaha untuk berubah juga, dan menjadi lebih baik,” katanya.

Selaras dengan pelancaran prospektus Mercury Securities, permohonan untuk Terbitan Awam dibuka mulai semalam dan akan ditutup pada 5 September 2023 pukul 5.00 petang.

Selepas penyenaraian di Pasaran ACE, Mercury Securities akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM223.25 juta berdasarkan harga terbitan RM0.25 sesaham dan modal saham terbitannya yang diperbesarkan sebanyak 893.00 juta saham.

PIVB ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan Tunggal untuk kerja-kerja IPO itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN