KUALA LUMPUR: Penyanyi dan guru vokal, Adzrin Adzhar,41, mempertahankan anak didiknya, Ammara, susulan kecaman segelintir netizen yang melabel peserta itu sebagai penyanyi ‘sumbang’ sepanjang penyertaannya dalam pertandingan Talk To My Manager (TTMM) musim kedua baru-baru ini.
Menurut Adzrin, ramai yang memberikan penilaian tanpa memahami aspek teknikal nyanyian, sedangkan Ammara baru memulakan latihan vokal kira-kira sebulan sebelum menyertai pertandingan berkenaan.
“Perkara pertama yang orang ramai perlu tahu ialah Ammara sebenarnya baru belajar menyanyi ketika hendak menyertai pertandingan itu. Ramai yang tidak sedar vokal juga adalah otot. Sama seperti seseorang pergi ke gim untuk membina badan, suara juga boleh dilatih dan dibentuk daripada biasa-biasa sehingga menjadi lebih baik. Proses itu memerlukan masa dan latihan yang berterusan, bukannya berlaku dalam tempoh yang singkat.
“Dalam tempoh sebulan, memang sukar untuk seseorang yang langsung tiada asas nyanyian berkembang menjadi penyanyi yang sempurna. Sebab itu saya selalu tekankan, kalau anda bertanya kepada saya ketika kali pertama saya bertemu Ammara, jawapan saya ketika itu memang dia belum boleh menyanyi. Tetapi jika anda bertanya sekarang, jawapan saya sudah berbeza kerana perkembangannya sangat ketara. Lihat sendiri persembahan final, dia menyanyi secara langsung sehingga ada yang menyangka dia melakukan miming. Itu menunjukkan peningkatan yang berlaku hasil latihan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas dakwaan Ammara sering menyampaikan lagu secara sumbang, Adzrin berkata, masyarakat juga perlu membezakan antara kelemahan teknik, tona suara dan proses pembelajaran seseorang penyanyi.
Adzrin berkata, ramai yang terlalu cepat menjatuhkan hukuman sedangkan kemampuan vokal seseorang boleh dibentuk secara berperingkat.
“Saya juga ingin meminta maaf jika pandangan ini tidak dipersetujui ramai, tetapi saya merasakan masyarakat sebenarnya mempunyai diskriminasi terhadap genre, bukannya terhadap Ammara. Orang selalu kata dia asyik merap, sedangkan jika diperhatikan setiap minggu dia tetap menyanyi. Cuma apabila ada bahagian yang mencabar, kami menggunakan rap sebagai strategi kerana Ammara masih dalam proses membina vokalnya.
“Pertandingan ini ialah satu permainan strategi. Sebagai jurulatih, sudah tentu saya akan memilih pendekatan paling selamat untuk memastikan peserta dapat memberikan persembahan terbaik mengikut kemampuan semasa. Bahagian rap itu pula bukanlah sepanjang lagu, hanya beberapa baris sahaja. Namun perkara itu lebih mendapat perhatian berbanding keseluruhan persembahannya,” katanya.
Tambah Adzrin, persepsi negatif terhadap genre rap dan hip hop juga menyebabkan usaha yang dilakukan Ammara sering dipandang serong berbanding peserta lain.
“Kalau peserta lain menyampaikan lagu pop atau balada setiap minggu, orang tidak pula mempersoalkannya. Tetapi apabila Ammara menggunakan elemen rap, terus timbul komen mengatakan dia hanya tahu merap. Pada saya, itu menunjukkan masyarakat masih mempunyai persepsi tertentu terhadap genre rap dan hip hop.
“Saya tidak menyalahkan sesiapa kerana kita membesar dengan kecenderungan terhadap lagu-lagu balada dan pop. Namun saya berharap masyarakat dapat melihat perkembangan seseorang penyanyi secara lebih adil dan tidak terus melabel mereka sebagai tidak boleh menyanyi hanya kerana masih berada dalam fasa pembelajaran,” katanya.










