KANGAR: Durian premium seperti Musang King dan Black Thorn (Duri Hitam) yang dianggap ‘kayangan’ bertukar ‘marhaen’ yang mampu dinikmati semua golongan selepas harganya jatuh mendadak sehingga 50 peratus atau lebih.
Tinjauan Utusan Malaysia di gerai jualan durian sekitar Seriab, di sini, mendapati durian jenis Musang King dijual sekitar RM10 hingga RM15 sekilogram, manakala Black Thorn pula antara RM25 hingga RM28 sekilogram.
Ia jauh berbeza berbanding tahun lalu di mana durian jenis Musang King gred A dijual sekitar RM28 sekilogram manakala Duri Hitam pula mencecah RM45 sekilogram.
Harga durian kampung pula kebanyakkan dijual secara longgok pada harga RM10 hingga RM50 bagi 10 kilogram mengikut jenis gred buah berkenaan.
Peniaga durian, Muhamad Hafiz Yussof, 34, berkata, harga durian premium musim ini menunjukkan penurunan sehingga 50 peratus atau lebih disebabkan oleh lambakan buah berkenaan.
“Apabila berlakunya lambakan durian musim ini, secara tidak langsung harga jatuh menjunam dan bagi kami sebagai peniaga memang seronok apabila lebih ramai pengguna dapat beli serta menikmati buah Musang King misalnya yang sebelum ini dianggap kayangan,” katanya.
Muhamad Hafiz berkata, terdapat beberapa faktor menyebabkan lambakan durian tersebut antaranya apabila semakin ramai menanam durian jenis varieti premium dan penghasilan pada musim ini pula berlaku serentak.
Katanya, negeri-negeri pengeluar seperti Pulau Pinang, Pahang, Johor, Kelantan dan Terengganu mengeluarkan hasil serentak dan ia mendorong kepada lambakan buah berkenaan seterusnya menyebabkan harga menjunam.
“Jika isu lambakan durian berkenaan masih berterusan, harga durian varieti premium seperti Musang King tidak mustahil boleh turun sehingga RM10 sekilogram,” katanya.
Seorang pengguna, Loo Min Chon, 51, berkata, harga durian yang jatuh mendadak membuka peluang buat pengguna sepertinya untuk menikmati buah premium pada kadar berpatutan.
Dia mengambil peluang membeli durian Udang Merah, Black Thorn dan IOI yang sebelum ini agar sukar untuk dinikmati apabila harganya yang terlalu mahal.
Sementara itu, seorang pesara sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Saaidan Lateh, 59, pula berkata, penurunan harga durian premium membuka peluang kepada lebih ramai yang kurang berkemampuan menikmati buah berkenaan dengan harga yang murah.
“Situasi seperti ini jarang berlaku dan ia memberi manfaat cukup besar kepada pengguna untuk menikmati buah durian premium dengan harga yang murah berbanding sebelum-sebelum ini,” katanya.-UTUSAN










