McDonald’s Malaysia hargai 65,000 rider

McDonald’s Malaysia hargai 65,000 rider

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: McDonald’s Malaysia menawarkan set hidangan percuma kepada 65,000 penunggang penghantaran atau rider di seluruh negara sebagai tanda penghargaan atas kegigihan dan kerja keras mereka dalam memenuhi permintaan pelanggan.

Inisiatif #MekdiBelanjaRider #TerimaKasihAbangRider merupakan usaha restoran perkhidmatan pantas tersebut mengajak rakyat Malaysia untuk sama-sama menzahirkan penghargaan kepada golongan rider yang sentiasa mengutamakan pelanggan.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDo­nald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, inisiatif itu dilaksanakan untuk mengucapkan terima kasih kepada para penunggang penghantaran yang bukan sekadar menghantar makanan, tetapi juga membawa kenangan te­rindah atau ‘feel good moments’ kepada rakyat Malaysia.

“Mereka adalah penghubung untuk makanan kami yang lazat dan senyuman kegembiraan pelanggan.

“Melalui inisiatif ini, kami ingin memberi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menzahirkan penghargaan kepada semua rider di luar sana, dan membuatkan mereka sedar bahawa peranan mereka sangatlah dihargai,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, golongan rider sentiasa memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia dengan kualiti khidmat pelanggan yang diberikan.

Tanpa mengira masa atau cuaca, rakyat Malaysia sentiasa mengharapkan mereka untuk menikmati hidangan yang lazat, katanya.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua rider di seluruh negara kerana selain menghantar makanan, mereka sebenarnya melakukan lebih daripada itu. Mereka turut membolehkan pelanggan untuk menikmati hidangan kegemaran dengan selesa dan gembira di rumah,” tambah Melati. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN