mampu kurangkan kos pembinaan, harga rumah

mampu kurangkan kos pembinaan, harga rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANAAN ramai hartanah dilihat sukar dijadikan satu platform bagi membantu orang ramai memiliki rumah, malah ia mungkin lebih menarik diceritakan sebagai satu bentuk pelaburan sahaja.

Pejuang hartanah, Ahyat Ishak berkata, para pemberi dana sudah pastinya mengharapkan pulangan daripada ‘pelaburan’ yang dibuat bagi seseorang memiliki rumah.

“Saya tidak dapat lihat bagaimana ia dapat membantu rakyat memiliki rumah. Kalau di peringkat pembinaan, mungkin ia dapat mengurangkan kos seterusnya harga rumah lebih rendah.

“Namun, harga rumah mampu milik juga berbeza mengikut lokasi. Pendanaan ramai mungkin boleh kurangkan kos tetapi pelabur sudah tentu mahukan pulangan dan tiada bezanya dengan memiliki rumah menerusi pinjaman bank,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, pendanaan ramai boleh dilihat daripada dua sudut iaitu pengumpulan dana untuk membina rumah atau di peringkat membeli rumah.

Sebagai contoh, jelasnya, di Indonesia terdapat pemaju yang mahu membina rumah mampu milik untuk rakyat jadi pemaju memerlukan modal yang besar bagi urusan pecah tanah, infrastruktur dan jalan.

“Masalahnya, bank hanya akan memberikan modal permulaan selain meminta pemaju menjual 20 hingga 30 peratus rumah dan pelbagai lagi syarat yang merumitkan.

“Jadi, di sinilah pemaju menggunakan platform pendanaan ramai untuk mendapatkan modal bagi melaksanakan projek perumahan tersebut,” katanya.

Sebaliknya, Ahyat berkata, pendanaan ramai hartanah ini boleh dilaksanakan jika membabitkan jenis hartanah yang boleh mendapat pulangan seperti dewan serbaguna dan sebagainya.

“Jika inisiatif pendanaan ramai digunakan untuk membina dewan serbaguna, selepas siap nanti mesti dapat menjana pendapatan jika disewakan untuk sebarang majlis.

“Jadi, para pemberi dana akan mendapat pulangan yang terhasil daripada sewaan dewan tersebut,” jelasnya.

Selain itu, aktiviti pendanaan ramai hartanah juga tidak terlepas daripada pihak tidak bertanggungjawab terutama scammer yang sentiasa mencari peluang untuk mendapatkan wang mudah.

Justeru, Ahyat menjelaskan, pendanaan ramai hartanah turut menjadi kebimbangan dalam masyarakat kerana banyak kes ia disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menjadi satu konflik kepercayaan.

Ujarnya, ia secara tidak langsung menjadi persoalan adakah masyarakat kini boleh menerima pendanaan ramai secara terbuka kerana wujudnya ancaman scammer?.

“Individu yang ingin terlibat dalam pendanaan ramai hartanah mestilah memilih platform yang dipercayai dan disahkan oleh kerajaan.

“Saya membayangkan, pendanaan ramai secara besar-besaran ini akan menjadi masalah juga kerana melibatkan banyak pihak dan jumlah dana yang besar.

“Ini juga meletakkan pemberi dana dalam risiko kerana tiada jaminan para pemberi dana akan dapat pulangan se­perti yang diharapkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×