PETALING JAYA: Lima pelajar ASEAN menerima Biasiswa ASEAN-Maybank (AMS) sempena sambutan Hari ASEAN Ke-56 di Jakarta, semalam.
AMS adalah program biasiswa pertama di antara Sekretariat ASEAN dengan entiti bertauliah ASEAN, dan menandakan penglibatan tahun keenam Maybank bersama sekretariat.
Lima pelajar terbabit ialah dua dari Indonesia dan masing-masing seorang dari Brunei, Malaysia dan Vietnam. Empat daripada penerima akan melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda di Malaysia (seorang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan tiga di Universiti Malaya (UM)), manakala seorang lagi di Singapore Management University.
Biasiswa itu telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn bersama Pengerusi Kumpulan Maybank dan Yayasan Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Izlyn Ramli.
Dalam ucapannya pada majlis itu, Kim Hourn berkata, ASEAN sentiasa memberi penekanan dan tumpuan kepada pelaburan anak muda kerana matlamat akhirnya adalah untuk membangun dan memupuk generasi muda menjadi pemimpin masa depan ASEAN.
“Kami berharap melalui kejayaan program Biasiswa ASEAN-Maybank, ia akan menjana minat sektor swasta dan yayasan lain, terutamanya yang berpangkalan di ASEAN, untuk melangkah ke hadapan dan bekerjasama dengan kami untuk meningkatkan perkongsian awam-swasta (PPP) dalam membantu golongan muda di rantau ini dan menyumbang kepada pembinaan Komuniti ASEAN,” katanya.
Khairussaleh yang mengucapkan tahniah kepada lima penerima bisasiswa berkata, Maybank berbesar hati untuk bekerjasama dengan Sekretariat ASEAN untuk memuktamadkan pengambilan program biasiswa pada tahun ini.
Beliau berkata, Maybank percaya kepentingan untuk terus melabur dalam potensi belia dan menyediakan mereka dengan kepakaran yang diperlukan untuk berjaya, terutamanya dalam menyokong generasi muda untuk keperluan masa depan.
“Melalui AMS, ia membolehkan kami menyumbang secara strategik dalam pembangunan kemajuan ASEAN melalui pendidikan sambil memupuk rangkaian individu cemerlang yang akan membawa kita ke arah masa depan lebih cerah,” katanya.
AMS merupakan program unik, yang menempatkan belia ASEAN yang berbakat dan berkelayakan dengan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi di luar negara asal mereka iaitu di universiti berprestij ASEAN seperti disenaraikan di bawah Rangkaian Universiti ASEAN (AUN).
Dengan kerjasama Yayasan Maybank dan Sekretariat ASEAN, program itu berfungsi sebagai platform memupuk pemimpin masa depan yang akan menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran ASEAN, dan dalam proses untuk menggalakkan integrasi intra-ASEAN, selaras dengan aspirasi Pelan Tindakan Sosial-Budaya Komuniti ASEAN 2025. – UTUSAN










