Lebihan akaun semasa Malaysia RM9.1 bilion

Lebihan akaun semasa Malaysia RM9.1 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Imbangan akaun semasa (CAB) Malaysia meningkat kepada RM9.1 bilion pada suku kedua 2023 (S2 2023) berbanding RM4.3 bilion suku sebelumnya, dipacu terutama­nya oleh eksport bersih bara­ngan, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) .

Lebihan yang lebih tinggi itu menyumbang 2.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), meningkat daripada satu peratus daripada KDNK pada S1 2023, katanya.

Menurut Ketua Perangka­wan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, akaun barangan merekodkan eksport bersih RM29.5 bilion pada S2 2023, penurunan sebanyak 26.1 peratus suku ke suku.

“Eksport utama ialah elektrik dan elektronik (E&E), petroleum dan produk kimia, terutamanya ke Singapura, China dan Amerika Syarikat.

“Sebaliknya, import barangan meningkat 1.7 peratus suku ke suku kepada RM225.4 bilion daripada RM221.6 bilion, terutama­nya disumbangkan oleh modal dan barang penggunaan dengan China, Singapura dan Taiwan menjadi sumber utama import,” katanya dalam kenyataan.

Mengenai pelaburan langsung asing (FDI), beliau berkata, ia mencatat aliran masuk bersih yang lebih rendah sebanyak RM3.1 bilion berbanding RM12.0 bilion pada suku pertama tahun ini.

Penerima terbesar FDI ialah sektor perkhidmatan, terutamanya dalam subsektor profesional, saintifik dan teknikal dan kewangan. Sumber utama FDI adalah dari Singapura, Taiwan dan Jerman.

Sementara itu, aliran keluar bersih dalam Pelaburan Langsung Luar Negeri (DIA) berkembang kepada RM8.0 bilion daripada RM1.1 bilion suku sebelumnya.

“Sektor utama yang menyumbang kepada DIA ialah perkhidmatan khususnya dalam subsektor kewangan; maklumat dan telekomunikasi, diikuti pertanian serta pembinaan. Tiga destinasi teratas DIA ialah Singapura, Indonesia dan Norway.

“Dari segi pelaburan terkumpul pada akhir suku kedua 2023, kedudukan FDI dan DIA masing-masing mencatatkan RM900.0 bilion dan RM652.1 bilion.

“Kedudukan Pelaburan Antarabangsa (IIP) Malaysia merekodkan aset bersih RM160.9 bilion, manakala rizab antarabangsa Malaysia berjumlah RM522.0 bilion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN