PETALING JAYA: Pembuat panel solar terkemuka Amerika Syarikat (AS), First Solar berkata, audit terhadap operasi pembuatannya mendedahkan, berlaku amalan buruh yang tidak beretika di kilangnya di Malaysia.
Perlakuan itu menyebabkan saham syarikat itu turun kira-kira 5.0 peratus, menurut lapor Reuters
Menurut laporan itu, pendedahan berkenaan merupakan perkembangan terbaharu berkaitan industri tenaga solar yang sedang berkembang pesat dengan kebimbangan mengenai buruh paksa.
First Solar dilaporkan telah mengelak `pemeriksaan’ itu kerana panelnya tidak mengandungi polisilikon, bahan mentah yang dihasilkan terutamanya di wilayah Xinjiang, China.
Ia susulan undang-undang baharu AS yang menganggap semua barangan dari Xinjiang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
Dalam laporan kemampanan korporatnya, First Solar berkata, empat penyedia perkhidmatan di kilangnya di Malaysia telah `meletakkan’ pekerja asing kepada amalan pengambilan yang tidak beretika.
Ia termasuk pembayaran yuran pengambilan di negara asal mereka, penahanan pasport dan penahanan gaji yang menyalahi undang-undang.
“Selepas melaksanakan pelan pembayaran balik dengan pihak ketiga, kami kini bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan di kilang kami untuk memastikan yuran pengambilan dibayar balik kepada pekerja terkesan,” katanya dalam laporan itu.
First Solar beribu pejabat di Tempe, Arizona, dengan pejabat serantau di seluruh dunia dan mempunyai kilang di Perrysburg dan Lake Township, Ohio; Kulim, Malaysia dan Ho Chi Minh, Vietnam.
First Solar Malaysia memulakan operasinya pada 2008 dan merupakan kilang pembuatan berteknologi tinggi terbesar untuk modul PV filem nipis.
Menurut makluman, kilang syarikat itu di Kulim seluas 160 ekar menggaji lebih 4,000 pekerja membabitkan syarikat bersekutu.
Pada Julai 2022, Timbalan Menteri Sumber Manusia ketika itu, Datuk Awang Hashim memberitahu Dewan Rakyat bahawa lapan syarikat Malaysia daripada sektor minyak sawit dan getah telah dikenakan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) oleh Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS dalam dua tahun lepas.
Syarikat itu termasuk pembuat sarung tangan Top Glove dan Supermax Corp Berhad serta syarikat perladangan, Sime Darby Plantation Berhad dan FGV Holdings Berhad.
Dalam laporan audit itu, First Solar menyatakan, ia telah menggandakan komitmen terhadap industri solar yang lebih bertanggungjawab dengan penekanan ke atas toleransi sifar mengenai buruh paksa. – UTUSAN










