Karya `The Journey No 1’ dipilih pemenang - Utusan Malaysia

Karya `The Journey No 1’ dipilih pemenang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lukisan bertajuk `The Journey No. 1’ karya Mohd. Fizrie Azhan Mohd. Torikat, 32, dari Klang, Selangor, dipilih sebagai pemenang utama Pertandingan Seni MR. D.I.Y. 2023 yang telah melaburkan tirainya.

Kemenangan itu membolehkan Mohd. Fizrie Azhan membawa pulang hadiah bernilai RM15,000.

MR. D.I.Y. (M) Berhad menawarkan hadiah berjumlah RM70,000 kepada para pemenang dalam pertandingan yang masuk tahun kedua penganjurannya.

Pertandingan berlangsung sehingga 7 Jun 2023, menarik lebih 300 penyertaan dari seluruh Malaysia, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MR D.I.Y., Adrian Ong berkata, apabila Kumpulan melancarkan pertandingan seni itu tahun lalu, matlamatnya adalah untuk memberi penghargaan kepada seni tempatan.
Ia juga untuk menyediakan platform kepada bakat-bakat seni muda di Malaysia mempamerkan bakat mereka kepada audiens yang lebih besar.

“Pertandingan pada tahun lalu telah menarik pelbagai karya berkualiti, dan kami amat gembira melihat lebih banyak karya hebat pada tahun ini, termasuk daripada bakat termuda kami, seorang peserta berusia tujuh tahun.

“Tahun ini, para juri benar-benar memberi cabaran yang besar dengan tema yang menarik iaitu ‘Panas & Sejuk’ dan saya ingin mengucapkan syabas kepada semua peserta yang berjaya menyahut cabaran dengan cemerlang.

“Kualiti hasil karya yang begitu bagus telah meyakinkan kami untuk meningkatkan nilai dan bilangan hadiah,” katanya dalam kenyataan.

Setiap penyertaan dinilai oleh panel juri ternama termasuk artis, Fauzan Omar, Safrizal Sharir, dan Leong Mei Yin serta pengumpul dan pengkritik seni, Bingley Sim.

Karya-karya pemenang akan dipamerkan di Segaris Art Centre, Publika Kuala Lumpur dari 2 hingga 4 Ogos ini dengan kemasukan adalah percuma. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN