Kadar pengangguran terus menurun

Kadar pengangguran terus menurun

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar pengangguran pada Jun 2023 turun 0.1 peratus kepada 3.4 peratus daripada 3.5 peratus bulan sebelum­nya, dengan bilangan penganggur terus berkurangan kepada 581,700 orang, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut DOSM, kadar pengangguran suku kedua 2023 kekal pada 3.5 peratus, dengan bilangan tenaga buruh terus mencatatkan peningkatan 0.5 peratus kepada 16.73 juta orang berbanding suku pertama berjumlah 16.65 juta orang.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara kekal stabil pada Jun, disumbang oleh peningkatan bilangan penduduk bekerja, walaupun prospek ekonomi Malaysia diunjur berkembang secara sederhana.

Oleh itu, katanya, bilangan tenaga buruh terus mengukuh sebanyak 0.2 peratus merekodkan 16.89 juta orang berbanding Mei sebanyak 16.86 juta orang.

“Sementara itu, kadar penyer­taan tenaga buruh (KPTB) bagi Jun tidak berubah iaitu pada 70.0 peratus seperti direkodkan bulan lalu,” katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia, Jun 2023, semalam.

Mohd. Uzir menambah, bila­ngan penduduk bekerja kekal pada trend positif dengan pe­ning­katan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.31 juta orang (Mei 2023: 16.28 juta orang).

Beliau berkata, bilangan penganggur pula menurun seba­nyak 0.5 peratus kepada 581,700 orang daripada 584,600 bulan sebelumnya.

Mengenai guna tenaga, Ketua Perangkawan berkata, daripada jumlah penduduk bekerja, 75.4 peratus dalam kategori pekerja, peningkatan 0.1 peratus kepada 12.30 juta orang (Mei 2023: 12.29 juta orang).

“Pada masa yang sama, bila­ngan penduduk bekerja sendiri juga terus meningkat sebanyak 0.5 peratus mencatatkan 2.95 juta orang (Mei 2023: 2.94 juta orang),” katanya.

Mengikut sektor ekonomi, guna tenaga dalam sektor per­khid­matan kekal pada trend menaik, terutamanya dalam akti­viti perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit; serta pengangkutan dan penyimpanan.

Bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian juga menunjukkan peningkatan.

Mohd. Uzir berkata, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, merangkumi 80.3 peratus daripada jumlah penganggur, turun 0.8 peratus kepada 466,900 orang (Mei 2023: 470,400 orang).

Dalam kalangan penganggur aktif, 61.1 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.6 peratus penganggur jangka panjang melebihi setahun.

Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun pula kekal pada 11.0 peratus berjumlah 312,400 orang (Mei 2023: 11.0 peratus; 313,000 orang).

Sementara pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun, turun 0.1 peratus kepada 6.9 peratus berjumlah 446,800 orang (Mei 2023: 7.0 peratus; 448,600 orang).

Tambah Mohd. Uzir, sebahagian besar negeri mencatatkan penurunan kadar pengangguran dengan kadar terendah pada suku kedua adalah Putrajaya dengan 0.5 peratus, diikuti Pulau Pinang (2.1 peratus) dan Perlis (2.2 peratus).

Pada masa yang sama, 10 negeri mencatatkan peningkatan KPTB dengan tertinggi Selangor (77.1 peratus), diikuti Putrajaya (76.8 peratus), Kuala Lumpur (73.1 peatus) dan Pulau Pinang (71.7 peratus).

Menurut Mohd. Uzir, ekonomi Malaysia dijangka akan dapat mengharungi perjalanan separuh kedua dengan sokongan berterusan daripada isi rumah yang kukuh, asas ekonomi yang utuh dan prospek yang lebih baik.

“Tambahan lagi, pasaran buruh juga terus menunjukkan trend positif, dengan bilangan penganggur yang semakin menurun manakala bilangan guna tenaga terus stabil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN