Inflasi separuh kedua 2023 diunjur lebih rendah

Inflasi separuh kedua 2023 diunjur lebih rendah

KENAIKAN harga barangan makanan antara penyumbang utama kepada peningkatan kadar inflasi di dalam negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan trend inflasi keseluruhan dan teras lebih rendah mengikut jangkaan pada separuh kedua 2023.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour berkata, hal itu (trend inflasi lebih rendah) sebahagiannya disebabkan oleh asas yang lebih tinggi bagi tempoh yang sama pada 2022.

“Walau bagaimanapun, risiko terhadap prospek inflasi bergantung pada perubahan terhadap dasar dalam negeri berhubung dengan subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi global dan pasaran kewangan,” katanya

Pada suku kedua 2023, Malaysia merekodkan kadar inflasi lebih rendah kepada 2.8 pepatus, daripada 3.6 peratus suku sebelumnya.

Menurut Shaik Abdul Rasheed, penurunan dicatatkan oleh inflasi bukan teras dan inflasi teras.

Bagi inflasi bukan teras, kata beliau, makanan segar dan bahan api menyumbang kepada penurunan tersebut.

“Inflasi teras pula kekal tinggi berbanding dengan purata jangka panjang (purata tahun 2011 hingga 2019: 2.1 peratus), meskipun mencatatkan penurunan.

“Inflasi teras yang sederhana (S2 2023: 3.4 peratus; S1 2023: 3.9 peratus) sebahagian besar­nya disumbangkan oleh per­khidmatan terpilih. Perkhidmatan tersebut termasuk makanan di luar rumah, perkhidmatan telefon dan telefaks serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan persendirian,” katanya.

Tambah beliau, rebakan inflasi berkurang apabila bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan menjadi sederhana kepada 42.7 peratus pada suku kedua (S1 2023: 56.0 peratus), iaitu di bawah purata jangka panjang suku kedua (tahun 2011 hingga 2019) sebanyak 43.9 peratus.

“Yang penting, rebakan inflasi menurun pada bulan Jun selepas kenaikan sementara pada bulan Mei berikutan musim pe­rayaan,” katanya.

Sementara itu, Shaik Abdul Rasheed berkata, Ringgit menyu­sut sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua, namun kembali menunjukkan trend pe­ningkatan sebanyak 1.1 peratus untuk suku ketiga (S3) setakat 15 Ogos lalu.

Kata beliau, perkembangan global terus menjadi faktor dominan dalam memacu kea­daan kewangan domestik pada suku tersebut.

“Sentimen pasaran kewangan global dilemahkan oleh kebimbangan mengenai prospek ekonomi global yang lebih perlahan dan pemulihan ekonomi China yang lebih lemah daripada jangkaan.

“Ini ditambah lagi dengan kebimbangan terhadap krisis siling hutang AS dalam tempoh dua bulan pertama suku itu, di samping jangkaan berterusan pasaran kewangan  terhadap pengetatan dasar monetari dalam ekonomi maju,” katanya.

Beliau berkata, BNM akan terus memantau dengan teliti keadaan kewangan global dan domestik serta memastikan pelarasan pasaran kekal teratur.

Katanya, kehadiran BNM dalam pasaran pertukaran asing adalah untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.

Sementara itu, beliau berkata, pertumbuhan kredit kepada sektor bukan kewangan swasta menyederhana kepada 3.8 peratus daripada 4.1 peratus pada S1 tahun ini disebabkan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam pinjaman perniagaan terkumpul.

Pertumbuhan bon korporat yang cemerlang, bagaimanapun, meningkat kepada 4.9 peratus berbanding 4.4 peratus S1 tahun ini.

Sementara itu, pinjaman perniagaan terkumpul meningkat sebanyak 0.7 peratus, disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan rendah dalam pinjaman modal kerja kepada perusahaan bukan kecil dan sederhana (PKS). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN