Ekonomi Malaysia berkembang 2.9 peratus suku kedua 2023

Ekonomi Malaysia berkembang 2.9 peratus suku kedua 2023

ABDUL RASHEED ABDUL GHAFFOUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia berkembang sederhana pada 2.9 peratus suku kedua tahun 2023, selepas mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus suku pertama, disebabkan terutamanya oleh permintaan luaran yang lebih perlahan.

Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour, permintaan dalam negeri kekal sebagai pendorong utama pertumbuhan, disokong oleh penggunaan swasta dan pelaburan.

Perbelanjaan isi rumah disokong oleh pertumbuhan selanjutnya dari segi guna tenaga dan upah.

Sementara itu, aktiviti pelaburan disokong oleh pengembangan kapasiti, pelaksanaan projek berbilang tahun yang berterusan dan perbelanjaan aset tetap yang lebih tinggi oleh kerajaan, kata beliau.

Beliau berkata, kemasukan pelancong asing yang terus pulih sebahagiannya mengimbangi pertumbuhan eksport barangan yang lebih perlahan.

“Pertumbuhan pada suku kedua juga dipengaruhi oleh kesan asas yang tinggi pada suku kedua tahun 2022 apabila ekonomi mencatatkan pertumbuhan yang kukuh berikutan kesan pembukaan semula ekonomi dan langkah-langkah dasar.

“Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan pembinaan terus menyokong pertumbuhan. Sementara itu, pengeluaran dalam sektor pertanian dan perlombongan terjejas akibat cuaca panas dan penyelenggaraan loji.

“Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 1.5 peratus (S1 2023: 0.9 peratus),” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN