BMW CE 04: Selamat datang ke alam fiksyen sains anda!

BMW CE 04: Selamat datang ke alam fiksyen sains anda!

BMW CE 04, skuter elektrik paling futuristik. – UTUSAN/ANUAR NORICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INI bukanlah kali pertama saya menungang uji motosikal skuter yang 100 peratus menggunakan elektrik sebagai kuasa berfungsi. Seiring dengan pengenalan demi pengenalan model-model kereta elektrik, dunia motosikal juga tidak ketinggalan untuk menghasilkan versi elektrik dua roda ciptaan mereka.

BMW sememangnya mempunyai visi untuk terus berinovasi dalam penghasilan kenderaan untuk dunia dan seterusnya me­lahirkan CE 04 ini. Setelah dibe­ritahu mereka telah menyediakan sebuah untuk rebiu, saya tanpa membuang masa lagi mengujinya di sekitar Cyberjaya dan Putrajaya.

REKABENTUK FIZIKAL

Jika ingin dilabelkan bahagian yang aerodinamik, saya hanya mampu menunjukkan bahagian hadapannya yang tampak sedikit sifat ‘potong angin’. Berban­ding bahagian lain pada skuter ini lebih ibarat sebagai sebuah kabinet dapur atau peti sejuk yang beroda!

Mata saya kemudian terus tertumpu ke bahagian tempat duduk atau pelananya. Kalau kita semua tidak tahu had kapasiti manusia yang boleh dibawa oleh sesebuah motosikal dalam undang-undang Malaysia ini, anda tidak salah sekiranya mengandaikan tiga ke empat orang boleh dimuatkan atas pelana yang panjang ini. Namun, tidak dapat tidak, saya menjangkakan keselesaan bukan aspek utama rekaan pelana ini. Ia ibarat sekeping papan plywood yang panjang. Agaknya, inilah konsep moden bagi Jerman.

LAMPU hadapan lengkap DRL.

Walaupun begitu, rekaan fizikal ini tidak dapat dinafikan bersifat futuristik. Malah saya mencari-cari kalau ada kemungkinan terdapat tombol yang boleh ditekan untuk skuter ini bertransformasi menjadi beg atau pun kotak untuk membolehkan ia di heret atau digendong masuk ke rumah atau pejabat.

Sepasang roda bersaiz 15 inci, saiz yang biasa untuk kebanyakan skuter di pasaran, tetapi rekaannya tanpa jejari atau batang rim, menjadikannya mirip roda kecemasan atau spare rim yang terdapat dalam but kereta anda. Saya sendiri ‘terkedu’ dengan perasaan hairan tentang signifikasi rekaan seumpama ini.

Bahagian paling menyerlah menarik perhatian saya ialah sistem paparan meter TFTnya. Lengkap dengan informasi yang diperlukan untuk penunggangan, samada daripada mode enjin atau aplikasi yang berkait dengannya seperti peta navigasi, kesinambungan dengan sistem peranti anda, serta seperti motosikal-motosikal BMW yang lain, ia mempunyai menu grafik mengenai keberadaan sebenar motosikal anda.

PENUNGGANGAN

Saat yang ditunggu-tunggu telah tiba. Saya menjangkakan ia mungkin akan menghadapi sedikit komplikasi tentang prosedur memulakan penunggangannya, namun ternyata ia tidak terlalu jauh berbeza skuter-skuter terkini yang berada di pasaran.

Penggunaan sistem keyless, cukup dengan hanya membawa alat kawalan jauh dalam kocek anda, tekan suis di bawah hendal, paparan skrin TFT hidup dengan mempamerkan logo dan jenama BMW Motorrad. Paparan sete­rusnya mempamerkan kuasa ba­teri semasa dan jarak yang mampu diambil, setelah itu, tekan pula tombol penghidup jentera se­perti kebanyakan motosikal yang menggunakan penghidup elektrik. Namun jangan lupa untuk turut sama menekan tuas brek ketika menghidupkan jentera, seperti kebanyakan skuter.

Begitupun, tiada bunyi motor penghidup enjin, cuma skrin yang memaparkan perkataan READY. Pulas pendikit, maka ia terus bergerak tanpa sebarang bunyi enjin. Ketika ini, saya sudah tidak lagi kekok me­nunggang motor-motor elektrik yang senyap sunyi. Namun yang sebenarnya, ia bukanlah tidak berbunyi langsung, pergerakan roda dan motor elektrik tetap menghasilkan bunyi tetapi tiadalah bunyi dan gegaran enjin yang begitu senonim dengan saya selama lebih daripada setengah abad.

Saya sudah mengagak akan kebolehan pecutan skuter CE 04 ini kerana seperti semua kenderaan EV, pecutannya terus dipindahkan dari motor elektrik ke roda tanpa perlu melalui proses-proses mekanikal yang lain. Hanya 2.6 saat untuk mencapai kelajuan daripada 0 ke 50km/j. Para rider penghantar makanan/barangan sudah tentu baru handak menekan tuas ke gear dua tetapi saya telah pun mula bergerak sejauh tiga buah kereta di hadapan daripada sama-sama dalam keadaan statik dilampu isyarat.

KABEL pengecas tersembunyi dalam kompartmen.

Dari segi fizikal, jarak antara rodanya tampak lebih jauh berbanding mana-mana skuter yang sama saiz dengannya, merisaukan saya tentang kebolehan CE 04 ini mengambil selekoh pendek dan penunggangan dalam bandar pada awalnya. Namun kesemua ini tidak langsung saya hadapi.

Saya amat suka kebolehan CE 04 ini untuk memberikan keupayaan engine braking, iaitu se­perti enjin motosikal konvensional ‘mengerang’ dan memperlahankan kelajuan ketika menukar ke gear rendah. Ketika sedang memulas pendikit dalam kelajuan sekata, lepaskan pendikit tersebut, ia secara automatik memperlahankan kelajuan anda seperti anda telah tukar ke gear yang lebih rendah.

Begitu juga dengan kebolehan ‘mengunci’ roda CE 04 ini apabila tongkat sisi diturunkan. Fungsi ini ibarat parking brake untuk faktor keselamatan tambahan.

KESIMPULAN

Adakah ini motosikal yang sempurna untuk anak cucu kita gunakan di masa akan datang? Destinasi matlamatnya mungkin sudah 50 peratus telah dicapai. Saya agak berpuas hati dengan kelajuan yang dapat saya capai iaitu 125km/j ketika melalui lebuh raya. Kestabilan dalam penunggangan, saya cukup puas hati pada faktor ini, walau sistem suspensinya agak sedikit keras, tetapi tidaklah mendatangkan kesakitan pada pergelangan tangan atau punggung.

METER TFT lengkap dengan informasi yang diperlukan untuk penunggangan.

Namun, pelananya perlu diubah. Setelah hampir 45 min menunggang, saya merasakan kesakitan pada bahagian bawah tulang belakang. Tiada lekukan atau sandaran untuk penunggang utama.

Walaupun anda mampu mengecas motosikal ini dengan hanya menggunakan mana-mana plug tiga pin, namun anda perlu mencari plug dinding yang boleh anda seorang sahaja gunakannya selama 4 jam 20 minit. Untuk mengecas dengan lebih pantas, anda perlu menggunakan pengecas yang berkapasiti 6.9kW. Begitupun, ia perlu sejam 40 minit atau 65 minit untuk mencapai 80 peratus.

Akhir sekali, saya masih gagal menolak perasaan range anxiety iaitu kerap tertumpu pada baki tenaga elektrik/bateri yang terpampang pada meter. Perasaan takut bateri akan ‘mati’ ketika penunggangan masih gagal saya ketepikan. Walaupun angka jarak yang mampu dicapai oleh skuter ini adalah sekitar 130km – 150km tetapi, berpandukan pada tahap pilihan anda. Lebih tinggi kelajuan dipilih, lebih cepatlah ‘bateri habis’.

Harga pasaran RM59,500 bagaimanapun mengingatkan saya kembali bahawa ini adalah jentera berjenama BMW. Persoalannya, adakah anda sudah bersedia untuk perubahan besar ini? – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN