PETALING JAYA: Kumpulan AmBank menyasarkan pertumbuhan 6.0 peratus dalam pengeluaran pinjaman atau sehingga RM7 bilion, untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (TK2024).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, unjuran itu berdasarkan aset bank yang bernilai RM130 bilion.
“Aset kami tahun lepas adalah kira-kira RM130 bilion, dan kami menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus. Pertumbuhan bank biasanya akan naik hampir dengan pertumbuhan KDNK.
“Kami biasanya mencapai pertumbuhan lebih tinggi sedikit daripada KDNK. Katakan untuk tahun ini, pertumbuhan pinjaman sebanyak 6 peratus dalam aset bernilai RM130 bilion. Itu akan menjadikan kira-kira RM6 bilion hingga RM7 bilion nilai pertumbuhan dari segi pinjaman sebenar yang dikeluarkan,” katanya kepada pemberita di luar Simposium Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Antarabangsa di sini, hari ini.
Simposium itu dihadiri oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Bagi TK2023, AmBank merekodkan pertumbuhan pinjaman sebanyak 8.5 peratus atau RM10.2 bilion kepada RM130.2 bilion merentas semua segmen.
Sulaiman berkata, Kumpulan ingin menggandakan pembiayaan hijau pada TK2024, daripada RM2 bilion yang diberikan tahun lepas.
“Pembiayaan kenderaan elektrik (EV) berjumlah RM100 juta. Ini akan berkembang dengan ketara tahun ini, memandangkan kemasukan banyak pemain EV terkemuka ke negara ini, seperti Tesla Inc. yang beribu pejabat di Amerika Syarikat dan BYD Co Ltd yang berpangkalan di China,” katanya.
Mengenai industri lain, beliau berkata, pinjaman hijau untuk bangunan seperti pangsapuri dan gudang, serta pengangkutan dan logistik, juga akan menjadi penyumbang segmen utama tahun ini.
Terdahulu, AmBank menandatangani memorandum persefahaman dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. untuk berganding bahu dalam menyokong pengenalan tenaga solar, pusat data hijau, pengecasan EV dan penyelesaian storan tenaga.
Sulaiman berkata, AmBank akan menyediakan penyelesaian pembiayaan dan perniagaan saudagar kepada semua peniaga Huawei. – UTUSAN










