AiI: Kementerian Ekonomi sedia dana RM40 juta

AiI: Kementerian Ekonomi sedia dana RM40 juta

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Ekonomi menyediakan dana khas sebanyak RM40 juta untuk pengambilan 20,000 pekerja bagi menyertai Academy in Industry (Ail) pada 2023.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, dana itu akan digunakan untuk membayar insentif penempatan pekerja, agar golongan muda tidak dibebankan dengan kos membayar deposit rumah sewa dan perpindahan dari kampung, insentif lulus kekal dalam pekerjaan, dan insentif pensijilan sekiranya pelatih kekal dalam pekerjaan sehingga 18 bulan untuk menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Menurut beliau, pihak majikan pula diberikan insentif latihan bagi pelatih yang disijilkan di akhir tempoh sembilan hingga 18 bulan.

“Kami telah melancarkan program AiI yang memberi tumpuan untuk membolehkan golongan muda dan rentan menyertai sektor pekerjaan teknikal tanpa perlu mempunyai kelayakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terlebih dahulu, kerana mereka akan dilatih dan disijilkan semasa bekerja melalui konsep place and train.

“Pendekatan baharu ini me­ngambil kira kecenderungan golongan muda yang lebih berminat untuk bekerja terus tanpa melanjutkan pelajaran selepas alam persekolahan.

“Melalui program AiI, majikan-majikan yang memenuhi syarat (dari segi modul latihan, jenis kandungan teknikal dalam pekerjaan, dan gaji yang ditawarkan) dilesenkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK, di bawah Kementerian Sumber Manusia) untuk melatih dan mensijilkan pekerja-pekerja mereka selepas pekerja melalui tempoh kerja-latihan (on the job training) selepas sembilan hingga 18 bulan bergantung kepada jenis kemahiran yang dipilih,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran program itu, semalam.

Ujarnya, anak-anak muda seawal 18 tahun boleh mula bekerja dan mempunyai pro­spek kerjaya teknikal kerana mereka akan mendapat SKM selepas sembilan hingga 18 bulan bekerja, berbanding pendekatan sedia ada yang memerlukan kelulusan kursus TVET sepenuh masa selama 24 bulan sebelum mereka boleh mencari pekerjaan.

Pada majlis itu, Rafizi turut menyampaikan tauliah kepada 200 syarikat pertama yang menyertai program AiI yang membolehkan mereka mengambil pekerja tempatan untuk menggantikan pekerja asing sedia ada.

Rafizi berkata, anggaran awal menunjukkan 200 syarikat pertama itu berkemampuan menyerap sehingga 20,000 golo­ngan muda dan rentan menjadi pekerja di sektor pembuatan dan teknikal, dengan gaji bersih sekitar RM2,000 sebulan.

“Selepas pengambilan kumpulan pertama, program ini akan diteruskan dengan pengambilan seterusnya untuk mewujudkan kumpulan pekerja teknikal tempatan yang besar.

“Dengan jumlah yang besar, kerajaan akan meningkatkan tahap pensijilan melalui kaedah kerja-latihan dari SKM hingga ke peringkat diploma dan universiti,” katanya.

Jelas beliau, ia akan membolehkan lepasan sekolah di masa hadapan berpeluang memilih ali­ran pendidikan tinggi yang bersesuaian dengan kecende­rungan mereka, iaitu aliran formal (pengajian sepenuh masa di institusi pengajian tinggi) atau aliran teknikal kerja-latihan (se­perti diamalkan di negara-negara se­perti Jerman).

“Saya berharap peluang ini diambil oleh golongan muda dan rentan untuk menyertai kerjaya teknikal. Permohonan untuk menyertai program AiI ini akan dibuka secara atas talian dalam tempoh dua minggu dari sekarang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN