PETALING JAYA: Velum Labs Sdn. Bhd. (Velum Labs) dan Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) menjalinkan kerjasama dalam perkongsian risikan siber dan model pelaksanaan untuk mengukuh, mempromosi dan membangunkan keupayaan siber negara secara strategik.
MoU yang ditandatangani sempena pelancaran Pameran & Persidangan Pertahanan & Keselamatan Siber 2023 (CYDES) itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Anak syarikat Kumpulan Sapura itu dalam kenyataan berkata, perjanjian yang dimeterai itu mengiktiraf serta membuktikan keunggulan dan keupayaan Malaysia dalam industri kritikal seperti keselamatan siber.
Menurut Velum Labs, pihaknya amat berbesar hati menjadi rakan kongsi NACSA dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam peranan mereka sebagai agensi peneraju bagi memantau dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan siber.
Katanya lagi, kerjasama itu juga menandakan kemajuan ketara buat Velum Labs berikutan prestasi lebih baik di pameran Maritim & Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) baru-baru ini.
“Kami telah merasmi dan melancarkan V-Dark, penyelesaian perisikan siber generasi akan datang yang dibangunkan anak tempatan, yang direka khas untuk memerangi ancaman canggih seperti kumpulan Ancaman Berterusan Lanjutan (APT), sindiket jenayah kewangan terancang dan anasir jahat yang menyasarkan perusahaan.
“Matlamat akhir di Velum Labs adalah untuk merevolusikan keselamatan siber sebagai keluaran ekonomi teras Malaysia dalam era digital ini melalui pelaburan dalaman bagi latihan yang dipertingkatkan dan mempunyai alat terbaik untuk bersaing dengan pesaing antarabangsa.
“Perkongsian bersama antarabangsa lain dengan Velum Labs seterusnya menunjukkan Malaysia kini diiktiraf sebagai penyedia utama untuk perisikan siber dengan jangkaan pertumbuhan yang ketara dalam bidang ini dalam kedua-dua pasaran ASEAN dan antarabangsa,” katanya.
Menyedari kepentingan pembangunan modal insan khususnya dalam sektor khusus seperti keselamatan siber, Velum Labs dan Sapura merupakan penaja utama untuk permainan siber Capture the Flag yang akan diadakan di CYDES 2023.
Katanya, pertandingan siber peringkat kebangsaan itu bakal menyaksikan 10 pasukan terdiri daripada empat daripada 10 universiti tempatan, bersaing untuk mewakili Malaysia pada temasya CyberSEA di Bangkok, Thailand akhir tahun ini. – UTUSAN










