Tips rumah sejuk tanpa pendingin hawa

Tips rumah sejuk tanpa pendingin hawa

MENANAM pelbagai jenis pokok bunga dan hiasan di sekeliling rumah, mampu mengurangkan kesan cuaca panas di dalam rumah, selain mewujudkan suasana menyegarkan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI Malaysia memang terkenal dengan cuaca panas yang kadang kala boleh mencecah lebih 38 darjah selsius.

Dengan suhu yang sepanas ini, sudah tentu orang ramai memilih untuk menyediakan pendingin hawa di kediaman mereka supaya tidaklah rasa terlalu bahang apabila berada di rumah.

Namun, tidak semua berkemampuan memasang pengin hawa disebabkan harganya yang mahal, selain bakal mengakibatkan bil elektrik melambung tinggi pula.

Jadi, kali ini kami akan kongsikan cara rumah sejuk tanpa pendingin hawa sekali gus sebagai tips penjimatan penggunaan elektrik.

GUNA LAMPU  YANG KURANG MEMANCARKAN HABA
Pemilihan lampu dan peralatan elektrik di dalam rumah sangat penting untuk mengurangkan haba terkumpul dan akan menyebabkan rumah terasa bahang. Bagi pemilihan lampu rumah, lampu pendarfluor sangat disarankan.

Lampu pendarfluor ini akan menghasilkan pancaran cahaya yang sama seperti lampu pijar tetapi ia mengeluarkan haba lebih sedikit berbanding. Selain itu juga, lampu pendarfluor kurang menggunakan tenaga elektrik.

PILIH WARNA CAT RUANG TAMU YANG SEJUK
Warna cat juga mempunyai sifat dan karakternya sendiri yang boleh mempengaruhi suasana, fikiran dan psikologi.

Jadi, jika mahu memilih warna cat di ruang tamu, pilihlah warna yang sejuk seperti biru cair, turquoise, pink cair dan putih.

Kalau anda memilih cat warna hitam, ia akan memerangkap haba seterusnya menjadikan rumah anda lebih bahang.

GUNA PAPAN  FIBER SIMEN UNTUK SILING RUMAH
Selain itu, anda boleh gunakan papan fiber simen untuk siling rumah anda. Siling jenis ini lebih murah dan senang diperolehi.

Untuk memastikan ruang dalaman lebih sejuk, alaskan dengan penebat gentian bulu (fiberwool insulation). Ramai yang terpedaya dengan lebih memilih siling kumai dengan yang harga yang lebih mahal dan juga menjadikan ruang dalaman rumah kelihatan rendah dan bersuhu panas.

Siling rumah seeloknya dipasang tinggi dan mengikut bentuk bumbung supaya pasak kayu bumbung boleh kelihatan. Siling rumah yang tinggi ini mampu menjadikan ruang dalaman rumah lebih sejuk.

PASANG AWNING RUMAH
Pemasangan awning rumah bertujuan untuk mengelakkan dinding rumah menjadi panas kerana terkena cahaya matahari.

Biasanya awning dipasang pada bahagian dinding yang menghadap matahari pada waktu tengah hari sehingga petang untuk mengurangkan rumah terasa bahang pada waktu-waktu tersebut.

LETAK POKOK  HIASAN DI RUMAH
Ia bukan hanya digunakan sebagai hiasan untuk mencantikkan rumah malah dapat memberikan manfaat yang lain seperti mewangi dan menyejukkan ruang kediaman anda.

Antara tanaman hiasan yang sesuai diletakkan di dalam rumah dengan tujuan untuk menyejukkan rumah ialah pokok palma, ekor kucing, Anthurium sp., Caladium sp., Begonia sp. dan sebagainya.

TANAM POKOK TEDUHAN DI SEKELILING RUMAH
Selain pokok hiasan, anda juga digalakkan menanam pokok teduhan di keliling dan halaman rumah bagi mencegah cahaya matahari terkena terus pada dinding rumah.

Ini kerana tanaman ini terlebih dahulu akan menyerap sinar matahari.

Dinding rumah akan tetap dingin dan nyaman kerana panas matahari akan ditahan pokok teduhan yang ditanam di sekeliling rumah.

LETAK BESEN AIR DI RUANG RUMAH YANG PANAS
Anda juga boleh gunakan cara tradisional menyejukkan suhu rumah atau bilik tidur dengan besen berisi air.

Penggunaan besen air ini berfungsi sama seperti takungan air dalam bilik air yang membolehkan bilik air sentiasa sejuk dan nyaman.

Takungan air yang diletakkan dalam bilik ini akan menyerap wap dan haba yang panas.

Bagi memudahkan penyerapan wap-wap panas di dalam bilik, penggunaan besen yang mempunyai permukaan yang luas sangat digalakkan. Untuk kesan terbaik, anda juga boleh meletakkan ais ketul di dalam bilik.

PASANG KELAMBU DAN TIDUR DENGAN TINGKAP TERBUKA
Pada waktu malam, udara panas akan terkumpul di dalam rumah kerana pintu dan tingkap ditutup. Ruang rumah terutamanya bilik tidur akan terasa panas dan bahang.

Satu cara untuk mengatasi masalah ini adalah dengan membuka tingkap bagi membebaskan udara panas.

Udara panas bilik akan keluar dan udara malam yang masuk akan menyejukkan bilik tanpa menggunakan pendingin hawa.

Namun, apabila tingkap terbuka, bilik anda akan mudah dimasuki nyamuk. Jadi, untuk mengatasi masalah ini, pemasangan kelambu sangat digalakkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN