KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, SkyWorld Development Bhd. membuat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia semalam, dengan harga terbuka tidak berubah daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 80 sen.
Semasa dagangan dibuka, ia menyaksikan 16.43 juta saham didagangkan.
Pengasas dan Pengerusi Bukan Eksekutif Bebasnya, Datuk Seri Ng Thien Phing berkata, antara rancangkan Skyworld melalui penyeraian tersebut adalah melancarkan 10 pembangunan baharu bagi tempoh antara separuh kedua 2023 dan 2026.
Katanya, syarikat kini mempunyai 22.52 hektar bank tanah dan 15.04 hektar daripadanya telah diperuntukkan untuk pembangunan 10 projek tersebut dengan gabungan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM4.08 bilion.
“SkyWorld merancang untuk melancarkan 10 pembangunan baharu menjelang 2026 dan pengembangan di peringkat serantau, di Ho Chi Minh City, Vietnam.
“Ada banyak lagi perkara yang menarik daripada SkyWorld dan kami teruja dengan prospek masa depan,” katanya pada majlis penyenaraian syarikat itu.
Pemaju hartanah itu dijangka meraih sebanyak RM320 juta melalui IPO tersebut dan sebanyak RM166.4 juta akan diraih melalui terbitan saham baharu yang akan digunakan untuk memacu rancangan pengembangan masa depannya.
Menurutnya, RM100 juta atau 60.1 peratus daripada IPO itu telah diperuntukkan untuk pengambilan tanah bagi pembangunan, RM35.2 juta (21.2 peratus) lagi untuk modal kerja pembangunan projek dan RM20 juta (12 peratus) pembayaran balik pinjaman bank.
Sementara itu, baki RM11.2 juta (tujuh peratus) daripada hasil akan digunakan untuk membayar perbelanjaan berkaitan IPO.
Dalam pada itu, syarikat juga bercadang untuk mengisytiharkan dividen tahunan bersamaan 20 peratus daripada keuntungan selepas cukai (PAT) yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat secara disatukan.
Setakat ini, pemaju hartanah itu telah berjaya menyiapkan tujuh pembangunan di Kuala Lumpur dengan gabungan GDV sebanyak RM3.05 bilion.
Ketika ini, SkyWorld mempunyai enam pembangunan yang sedang berjalan dengan unjuran gabungan GDV sebanyak RM2.85 bilion. – UTUSAN










