PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan barisan baharu Majlis Penasihat Syariah (MPS) bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2026.
SC dalam satu kenyataan berkata, sebanyak empat ahli majlisnya merupakan lantikan semula iaitu, Profesor Dr. Aznan Hasan, Profesor Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali, Profesor Dr. Ashraf Md Hashim dan Profesor Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim.
Manakala empat lagi ahli majlisnya merupakan perlantikan baharu yang dibarisi Datuk Dr. Anhar Opir yang merupakan Mufti Selangor, Dr. Marjan Muhammad, Penolong Profesor Dr. Akhtarzaite Abdul Aziz dan Burhanuddin Lukman.
Mengulas mengenai barisan baharu itu, Pengerusi SC Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, MPS memainkan peranan penting dalam memastikan pasaran modal Islam sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam industri.
Menurut beliau, MPS juga turut menyokong dan memudahkan usaha untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ruang ini.
“Di SC, kami terus menyepadukan inovasi dan kemampanan ke dalam pengetahuan dan amalan Syariah untuk mengukuhkan daya saing Malaysia sebagai hab kepimpinan pemikiran ICM global yang terkemuka.
“Terima kasih diucapkan kepada ahli terdahulu atas dedikasi mereka dalam memajukan pembangunan ICM Malaysia. Diharapkan barisan ahli baharu untuk penggal ini akan terus memajukan aspirasi kewangan Islam,” katanya.
Ditubuhkan pada 16 Mei 1996 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993, MPS merupakan pihak berkuasa yang menentukan penggunaan prinsip Syariah dalam urusniaga pasaran modal Islam (ICM).
Di samping itu, mandat MPS termasuk memastikan pelaksanaan ICM mematuhi prinsip Syariah.
MPS terdiri daripada cendekiawan Syariah terkemuka, ahli akademik dan pengamal pasaran yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas dalam bidang Syariah, pasaran modal, kewangan dan undang-undang. – UTUSAN










