PETALING JAYA: Ringgit mencatat prestasi paling lemah ketika berlegar di paras terendah bagi tempoh lapan bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Memetik laporan Reuters, mata wang Asia termasuk ringgit menunjukkan sedikit perubahan selepas separuh pertama (1H) 2023 berakhir semalam dengan kebanyakannya menurun berbanding dolar AS.
Data ekonomi AS terkini meningkatkan kemungkinan Rizab Persekutuan akan mengekalkan kadar faedah lebih tinggi untuk lebih lama, seterusnya menekan aset Asia yang sensitif kepada risiko.
Katanya, ringgit dan mata wang Filipina, peso mendahului penurunan pada semalam dengan kedua-duanya susut sebanyak 0.2 peratus.
“Ringgit juga terikat rapat dengan yuan China, yang telah kehilangan 5.9 peratus pada separuh pertama 2023. Won Korea Selatan juga turut melemah 0.2 peratus semalam meskipun pengeluaran kilang negara itu secara tidak dijangka melonjak pada Mei lalu.
“Mata wang Thailand bhat menyusut 0.1 peratus selepas keluaran kilang negara itu jatuh tahun ke tahun dan gagal memenuhi ramalan,” katanya.
Menurutya, bhat menurun hampir tiga peratus tahun ini dan ia terus berlanjutan pada paras terendah sejak tujuh bulan selain kekal di bawah tekanan selepas Thailand menghadapi kesukaran memilih Perdana Menteri baharu.
Sementara itu, ekuiti di rantau ini bercampur-campur, dengan pasaran di Thailand memperoleh 1.6 peratus, manakala China dan India meningkat 0.8 peratus.
Ekuiti di Seoul dijangka menunjukkan keuntungan sebanyak 14.6 peratus, manakala di Malaysia dan Thailand ditetapkan untuk menunjukkan penurunan masing-masing sebanyak 7.3 peratus dan 9.8 peratus bagi separuh pertama 2023.
Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Sorotan Bulan Mei 2023 menyatakan, ringgit menurun nilai berbanding dolar AS sebanyak 3.4 peratus, manakala FBM KLCI pula turun sebanyak 2.0 peratus.
Prestasi ringgit lebih rendah berbanding purata mata wang serantau yang turun nilai 1.2 peratus. Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea.
Jelas BNM, penurunan ringgit disebabkan pelabur global mengekalkan pendekatan penghindaran risiko sepanjang Mei lalu.
Ia berikutan kebimbangan terhadap kesan krisis had hutang tertinggi AS dan pemulihan ekonomi China yang lebih lemah daripada jangkaan, menjejaskan pasaran kewangan global. – UTUSAN










