PETALING JAYA: Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) bersama syarikat farmaseutikal dari China, Pharmaceutical Group Limited’s (CSPC) menjalin kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembuatan, serta pengkomersialan produk inovatif farmaseutikal dan biofarmaseutikal.
Pharmaniaga dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) menerusi anak syarikat milik penuhnya Pharmaniaga LifeScience Sdn. Bhd. (PLS) dan CSPC Holdings Company Limited yang juga milik CSPC.
Menurutnya, MoU berkenaan menekankan kerjasama kedua-dua pihak dalam meningkatkan pengeluaran portfolio biofarmaseutikal CSPC dengan memberi tumpuan kepada mRNA termaju milik syarikat itu untuk dikomersialkan di Malaysia serta wilayah berhampiran.
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Pharmaniaga, Ahmad Shahredzuan Mohd. Shariff berkata, MoU yang dimeterai mengukuhkan lagi hubungan sedia ada di antara syarikat farmaseutikal tempatan itu dengan CSPC.
“Kami sedang meneroka untuk memanfaatkan platform teknologi mRNA CSPC dalam pembangunan vaksin dan CSPC adalah rakan kongsi yang terbukti boleh dipercayai dalam usaha ini.
“Pharmaniaga kini memperoleh Bahan Farmaseutikal Aktif (API) untuk Azithromycin Dihydrate (antibiotik yang digunakan untuk merawat pelbagai jangkitan kuman) daripada CSPC Holdings,” katanya.
Ujar beliau, pasukan R&D Pharmaniaga melihat platform teknologi mRNA CSPC mempunyai potensi besar, terutamanya dalam pembangunan vaksin bagi penyakit seperti selesema, virus pernafasan pernafasan, zoster, HPV dan denggi.
“Kerjasama di antara Pharmaniaga dan CSPC bukan hanya melibatkan vaksin malah turut meneroka pelbagai produk farmaseutikal lain dalam bidang rawatan anti-jangkitan, kardiovaskular, neurologi, gastroenterologi, imunologi dan pulmonari.
“Pendekatan holistik ini menjanjikan kepelbagaian perkongsian dan impak yang meluas, memenuhi pelbagai keperluan penjagaan kesihatan,” katanya.
Tambah beliau lagi, pakatan itu juga melibatkan pengumpulan data pasaran untuk menilai daya maju komersial produk farmaseutikal inovatif CSPC dalam sektor terapeutik utama seperti anti-tumor, kardiovaskular dan neurologi. – UTUSAN










