PETALING JAYA: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara ini terus bergelut dalam menarik bakat untuk bekerja di syarikat mereka berbanding syarikat multinasional (MNC), menurut penyelidikan dijalankan oleh platform teknologi sumber manusia, Employment Hero.
Kajian yang dijalankan di Malaysia dan Singapura itu melibatkan 515 ketua perekrutan, menunjukkan halangan utama yang dihadapi oleh PKS dalam pemerolehan bakat ialah peningkatan kos pengiklanan untuk jawatan kosong.
Ini kerana, sebanyak 86 peratus daripada ketua perniagaan bersetuju kos perekrutan pekerja telah meningkat berbanding tahun sebelumnya, dengan 84 peratus menyatakan yang kos untuk mengakses paparan pekerjaan juga terlalu mahal.
Antara sebab-sebab lain termasuk gaji yang semakin meningkat, kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos menerbitkan paparan pekerjaan dan kadar komisen yang lebih tinggi untuk agensi perekrutan.
Bagi menangani cabaran ini, Employment Hero baru-baru ini telah melancarkan Swag, aplikasi pekerjaan super pertama di dunia, yang menggunakan fungsi perekrutan dikuasakan kecerdasan buatan (AI) yang direka untuk menyelaraskan pencarian kerja bagi PKS dan pencari kerja.
Pengarah Urusan, Asia, di Employment Hero, Kevin Fitzgerald berkata, Swag didorong oleh rangkaian lebih daripada 200,000 majikan dan lebih sejuta pekerja.
“Kos perekrutan yang semakin meningkat mewujudkan keburukan besar bagi PKS tempatan, menyebabkan mereka menghabiskan banyak waktu untuk merekrut secara manual, seterusnya memberi kesan kepada produktiviti dan keuntungan.
“PKS adalah tulang belakang ekonomi Malaysia, oleh itu adalah penting untuk memastikan mereka mempunyai akses kepada proses perekrutan yang lancar serta peluang yang sama untuk menarik dan mengekalkan calon yang terbaik,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, Swag dicipta untuk menangani isu ini dengan menyediakan sebuah platform percuma yang dikuasakan AI untuk penyiaran serta pemadanan pekerjaan, sekali gus memperkemas proses perekrutan pekerja dengan ketara.
“Adalah penting bagi PKS untuk memikirkan semula strategi perekrutan mereka untuk bersaing dengan MNC bagi mendapatkan bakat dan ternyata satu pendekatan baharu diperlukan.
“Dengan menerima penyelesaian inovatif serta menyesuaikan amalan perekrutan, PKS boleh menyamaratakan kedudukan dan memperolehi bakat terbaik yang diperlukan untuk pertumbuhan dan kejayaan mereka,” tambah beliau. – UTUSAN










