PETALING JAYA: Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) Malaysia mencatatkan nilai RM297.8 bilion pada harga malar, tahun lalu berbanding RM270.0 bilion tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, PMTK kekal sebagai komponen kedua terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan sumbangan 19.7 peratus.
“PMTK pulih kepada 6.8 peratus pada 2022 berbanding penurunan marginal 0.8 peratus pada 2021,” katanya dalam kenyataan sempena penerbitan statistik Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) 2015-2022.
Statistik PMTK disusun dan diterbitkan mengikut jenis aktiviti ekonomi, jenis aset dan sektor awam dan swasta, jelas DOSM.
Menurut Mohd. Uzir, sektor swasta terus menjadi peneraju utama kepada PMTK dengan sumbangan sebanyak 77.8 peratus, peningkatan sebanyak 7.2 peratus berbanding tahun sebelumnya. Sektor awam juga meningkat sebanyak 5.3 peratus berbanding penyusutan 11.1 peratus tahun sebelumnya.
Beliau berkata, aktiviti perkhidmatan dan pembuatan merupakan penyumbang utama kepada PMTK bagi sektor swasta dengan sumbangan aktiviti perkhidmatan melonjak kepada 63.6 peratus (2021: 63.4 peratus).
“Selain itu, aktiviti pembuatan mengekalkan kedudukan sebagai penyumbang kedua terbesar dengan sumbangan sebanyak 22.8 peratus berbanding 22.1 peratus tahun sebelumnya. Sementara itu, aktiviti-aktiviti lain menyumbang 13.6 peratus kepada jumlah PMTK sektor swasta.
“Pada masa yang sama, PMTK sektor awam juga dipacu oleh aktiviti perkhidmatan dengan sumbangan sebanyak 80.9 peratus. Ini diikuti oleh aktiviti perlombongan dan pengkuarian; dan pembuatan, dengan sumbangan masing-masing sebanyak 9.3 peratus dan 9.0 peratus,” jelas beliau.
Mengenai prestasi PMTK mengikut jenis aktiviti ekonomi, Mohd. Uzir berkata, kesemua sektor utama menunjukkan peningkatan tahun lalu, terutamanya pelaburan dalam aset tetap sektor perkhidmatan dan pembuatan.
Prestasi kukuh dalam sektor perkhidmatan jelasnya, didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan; maklumat dan komunikasi, masing-masing meningkat 13.6 peratus dan 10.0 peratus.
Sementara itu, kata beliau, pertumbuhan positif aset tetap sektor pembuatan pada 9.9 peratus (2021: 7.3 peratus) diterajui oleh prestasi kukuh dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau (2022: 14.1 peratus; 2021: 11.3 peratus) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (2022: 13.9 peratus; 2021: 9.8 peratus).
Selain itu, produk elektrik, elektronik dan optikal; dan peralatan pengangkutan turut meningkat kepada 9.4 peratus berbanding 5.9 peratus pada tahun sebelumnya.
PMTK bagi sektor perlombongan dan pengkuarian tumbuh 1.5 peratus, pulih daripada penyusutan 14.2 peratus pada 2021, maklum beliau.
“Sektor pertanian menunjukkan sedikit peningkatan sebanyak 0.2 peratus, disokong oleh prestasi yang lebih baik dalam subsektor ternakan dan perikanan dan pertanian lain. Tambahan pula, sektor pembinaan pulih 3.3 peratus pada 2022 berbanding tahun sebelumnya,” jelas beliau.
Melihat kepada prestasi mengikut jenis aset, struktur dengan sumbangan 49.8 peratus (2021: 50.7 peratus), kekal sebagai penyumbang utama kepada PMTK, melonjak 4.7 peratus dari 2021.
Sebaliknya, peralatan ICT, jentera dan peralatan lain mengekalkan pertumbuhan dua digit sebanyak 12.8 peratus, manakala produk harta intelek hanya berkembang 3.4 peratus pada 2022. – UTUSAN










