PCG beri tumpuan pertumbuhan segmen bahan kimia khusus

PCG beri tumpuan pertumbuhan segmen bahan kimia khusus

MOHD. YUSRI MOHAMED YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) sedang memperkukuhkan portfolio bahan kimia khususnya melalui pembentukan bahagian Kimia Khusus dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukan dalam industri petrokimia.

Untuk menerajui dan memacu bahagian baharu itu, PCG telah melantik Dr. Debbie Chiu Yuen-Yuen sebagai Ketua Pegawai Operasi (Bahan Kimia Khusus), bersama pasukan pengurusan yang kukuh bagi mengurus dan mengemudikan perancangan strategik yang kritikal ke arah menyokong aspirasi jangka panjang PCG dalam bahan kimia khusus.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof berkata, trajektori pertumbuhan pasaran bahan kimia khusus pada peringkat global dijangka berterusan dan pihaknya berbangga untuk memperkukuhkan kehadiran dengan penubuhan bahagian baharu ini.

“Ini menandakan satu lagi peristiwa penting dalam perjalanan pertumbuhan bahan kimia khusus kami sejajar dengan strategi serampang kedua kami. Seluruh PCG mengalu-alukan Dr. Debbie untuk menerajui bahagian baharu ini.

“Kami yakin dengan pengetahuan teknikal kimia dan pengetahuan aplikasinya yang luas, selain mempunyai visi yang tepat dalam merealisasikan aspirasi pertumbuhan bahan kimia khusus kami,” katanya dalam kenyataan.

Dr. Debbie membawa bersamanya pengalaman hampir 30 tahun dalam industri kimia dengan pengetahuan luas dalam salutan, polimer khusus, penyimpanan tenaga, bahan untuk peralatan dan penyelesaian gentian.

Beliau juga mempunyai pengalaman kepimpinan dalam penggabungan dan pengambilalihan, transformasi perniagaan, pengembangan pasaran dan sebagainya.

DR. DEBBIE CHIU YUEN-YUEN

Mengulas pelantikannya, Dr. Debbie berkata, PCG mempunyai aspirasi yang jelas dan cita-cita yang tinggi dalam perniagaannya dan bahan kimia khusus memainkan peranan besar untuk mencapai matlamat.

“Saya berbesar hati mengetuai pasukan baharu ini dan berharap dapat memberikan impak positif dengan memaksimumkan tawaran semasa kami dan memanfaatkan peluang pertumbuhan untuk syarikat,” ujarnya.

Sebagai sebahagian daripada strategi dua serampangnya, PCG telah mengenal pasti penjurusan ke arah bahan kimia khusus sebagai penyumbang utama dalam pertumbuhan syarikat yang mampu melindungi perniagaan daripada ketidakstabilan industri minyak dan gas yang lebih luas.

Syarikat telah mencapai kemajuan yang ketara dalam usaha pertumbuhan segmen ini, terutamanya dengan pengambilalihan penting Perstorp Group, peneraju global dalam bahan kimia khusus mampan yang berpangkalan di Sweden dan akan mengembangkan kehadirannya melalui pengukuhan kedudukannya dalam pasaran Asia Pasifik.

Portfolio bahan kimia khusus PCG membawa pelbagai jenis produk termasuk silikon, bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia, resin dan salutan, cecair tereka bentuk, pemakanan haiwan dan salutan termaju ke pasaran.

PCG berharap untuk mengembangkan kehadiran bahan kimia khususnya dan menjurus kepada aliran hasil baharu dengan penubuhan bahagian baharu ini yang mempunyai lebih kurang 2,000 pekerja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN