McDonald's perkukuh komitmen libat alam sekitar, kelestarian

McDonald’s perkukuh komitmen libat alam sekitar, kelestarian

McDonald's Malaysia memeterai perkongsian strategik dengan TNB dan GSPARX untuk pemasangan kemudahan fotovoltaik solar (PV).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: McDonald’s Malaysia mengukuhkan komitmennya melibatkan alam sekitar dan kelestarian, seiring dengan komitmen McDonald’s Global untuk mencapai sifar karbon dalam segenap operasi di peringkat global menjelang 2050.

Bagi mencapai komitmen itu, McDonald’s telah menandatangani kerjasama strategik dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX) untuk pemasangan bumbung fotovoltaik solar (PV) melalui penandatanganan Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE).

Kemudahan solar PV tersebut akan dipasang di 100 restoran Pandu-Lalu McDonald’s di seluruh negara secara berperingkat, dan dijangka siap pada Disember 2024.

“Di bawah SARE, GSPARX bertanggungjawab membina, memasang, mengoperasi dan menyelenggara kemudahan solar PV dengan saiz sistem 2.5MWp untuk 100 restoran McDonald’s.

“Dengan pelaksanaan projek solar ini, McDonald’s Malaysia dijangka mampu mengurangkan kos penggunaan elektrik sebanyak RM7 juta untuk kesemua restoran ini,” katanya dalam kenyataan.

Selain menandatangani SARE, McDonald’s juga akan bekerjasama dengan GSPARX untuk pembangunan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di restoran McDonald’s terpilih, sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat untuk menggalakkan penggunaan penyelesaian tenaga bersih dan menyokong mobiliti elektrik di Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, kerjasama yang terjalin dengan TNB dan GSPARX sangat bermakna bagi McDonald’s Malaysia dalam melaksanakan penyelesaian hijau yang mampu mengurangkan penggunaan elektrik dan pengeluaran karbon.

“Kerjasama ini mengukuhkan lagi komitmen kami kearah ekosistem yang lebih lestari. Melangkah ke hadapan, matlamat kelestarian kami bakal membentuk asas dalam cara kami mengembangkan perniagaan, menyantuni komuniti dan meminimumkan kesan terhadap alam sekitar,” katanya.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din pula berkata, TNB sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan McDonald’s Malaysia dan menyumbang kepakaran dalam penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Kata beliau, kerjasama itu mengetengahkan komitmen TNB menyokong syarikat terkemuka seperti McDonald’s ke arah mengurangkan penggunaan karbon dalam operasi mereka.

“Kami percaya yang kerjasama ini mampu mewujudkan pertumbuhan perniagaan yang signifikan untuk kedua-dua organisasi, pada masa sama mempercepatkan usaha ke arah Peralihan Tenaga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN