PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan semua parti politik agar tidak memasang apa jua bentuk bahan kempen di mana-mana premis dan pepasangan elektrik milik syarikat utiliti itu sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula 29 Julai ini.
Larangan itu termasuk menampal atau menggantung bahan-bahan kempen seperti poster, bendera, gegantung dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.
Pada masa sama, TNB juga memohon kerjasama semua pihak yang berkenaan agar mengelak daripada melakukan kerja-kerja pengorekan tanah dalam usaha mengurangkan risiko menyentuh kabel elektrik, sekali gus menghindari kemungkinan berlaku gangguan bekalan elektrik akibat kerosakan kabel.
Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian (Chief Distribution Network Officer) TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, perbuatan itu boleh mengundang bahaya kerana berisiko mengakibatkan renjatan elektrik.
Kata beliau, ia juga mungkin menyebabkan gangguan bekalan elektrik ke premis-premis penting sepanjang proses pilihanraya ini seperti Pusat-Pusat Penamaan Calon, Pusat Mengundi dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.
“Nasihat kami, agar kerja-kerja pengorekan ini ditangguhkan dulu dan jika tidak dapat dielakkan, sila hubungi pejabat TNB yang berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat agar semua prosedur dan tatacara dipatuhi sekaligus mengurangkan risiko gangguan.
“Manakala pemasangan bahan-bahan kempen tersebut pula boleh menghalang warga kerja TNB untuk mendapat akses untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pemulihan bekalan,” katanya dalam kenyataan.
Wan Nazmy turut mengingatkan orang ramai agar tidak memegang, membawa atau memasang tiang bendera di bawah mana-mana talian penghantaran elektrik termasuk tiang bendera yang diperbuat daripada buluh yang boleh menyebabkan renjatan elektrik pada mereka yang berada berhampiran.
Menurutnya, aktiviti berbahaya itu menyalahi peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), iaitu mengganggu, mencacatkan atau merosakkan pepasangan elektrik.
“Sebagai langkah pencegahan, TNB, menerusi rondaan rutin, akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak berkuasa untuk menurunkan bahan kempen pilihan raya yang berisiko menimbulkan bahaya dan masalah kepada pengguna,” katanya. – UTUSAN










