MARANG: Syarikat pemaju perumahan kerajaan Terengganu, Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. (Koperat) akan membangunkan projek perumahan bercampur terbesar di daerah ini dengan nilai pembangunan kasar kira-kira RM120 juta dalam tempoh terdekat.
Pengerusi Koperat, Hishamuddin Abdul Karim berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan 564 unit perumahan bercampur di kawasan seluas 20 hektar.
Menurutnya, sebanyak 50 peratus daripada rumah yang dibina itu merangkumi pembangunan rumah mampu milik, rumah berkembar setingkat dan rumah kedai dua tingkat.
“Pembangunan projek ini bukan sahaja untuk memenuhi permintaan terhadap rumah yang dibangunkan secara sistematik dan menyumbang kepada pembangunan sosial ekonomi penduduk setempat,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Bercampur di Kampung Alor Limbat dekat sini, baru-baru ini.
Majlis pecah tanah itu dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sementara itu, Ahmad Samsuri memberitahu, projek perumahan tersebut terletak di kawasan strategi kerana berdekatan tapak pembinaan stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Katanya, kawasan tersebut dijangka lebih pesat membangun selepas stesen ECRL itu beroperasi selepas ini.
“Pembinaan projek perumahan dan stesen ECRL di kawasan tersebut akan memberi limpahan rezeki kepada penduduk tempatan,” ujarnya.
Selain itu, tambahnya, sehingga kini, Koperat telah berjaya menyiapkan 3,135 unit meliputi daerah Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu dan Besut. – UTUSAN










