Kementerian lain perlu terlibat sama perkukuh nilai ringgit

Kementerian lain perlu terlibat sama perkukuh nilai ringgit

AHMAD Maslan ketika menyampaikan sumbangan daging korban di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelbagai kementerian lain perlu terlibat dalam membantu mengukuhkan nilai ringgit dan bukan hanya bergantung kepada Kementerian Kewangan semata-mata.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) merupakan antara kementerian yang perlu bekerjasama dari segi pelaburan dan pelancongan.

“Antara faktor yang ditaklimatkan (Bank Negara Malaysia) kepada saya adalah permintaan terhadap ringgit itu kurang, jadi apa yang perlu dilakukan supaya ringgit ini digunakan oleh pelbagai pihak sama ada pelabur atau pelancong.

“Promosi terhadap pelancongan tentunya oleh MOTAC (kerana) kita ini bergerak dalam satu kumpulan. Apabila kita ada sedikit masalah di Kementerian Kewangan tentang ringgit, maka kita mohon kementerian lain contohnya MITI supaya pelaburan segera masuk ke negara ini dan supaya eksport diperbanyakkan.

“Dan usaha untuk menarik pelancong ini bukan hanya dapatkan pelancong yang ramai kemudian meningkatkan industri berkaitan pelancongan, (apa) yang penting mereka (pelancong) itu gunakan ringgit dan apabila ringgit digunakan ia akan kukuhkan nilai mata wang itu, jadi bukan hanya satu sudut pelancongan tetapi ada pelbagai sudut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Daging Korban kepada Kumpulan Sokongan 2 Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Ahmad berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah segera kerajaan dalam membendung kelemahan ringgit.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, tindakan campur tangan dalam pasaran pertukaran asing adalah perkara biasa dan rutin bagi BNM yang sentiasa mengikuti perkembangan aliran wang keluar masuk.

Katanya, terdapat keperluan untuk BNM memantau pergerakan mata wang berdasarkan beberapa situasi terutamanya jika melibatkan nilai ringgit yang besar.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, usaha berterusan dilakukan kerajaan dalam menangani nilai ringgit dan beliau berharap ia dapat membuahkan hasil tertentu.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, persiapan Belanjawan 2024 akan bermula secara rasmi selepas Majlis Konsultasi Belanjawan diadakan sekitar bulan ini.

“Nanti akan ada makluman, selalunya bajet ini akan dimulakan dengan Majlis Konsultasi Belanjawan dan kita akan maklumkan kerana tarikhnya belum pasti (sekitar) Julai ini yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pegawai berkaitan iaitu Budget Relation Officer (BRO) telah dan sedang pergi ke kementerian-kementerian untuk mengadakan perbincangan mengenai bajet di kementerian itu. Apabila bermulanya majlis konsultasi itu, maka bermulalah secara rasmi persiapan bajet,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN