Kehadiran Tesla bantu pertumbuhan industri automotif tempatan

Kehadiran Tesla bantu pertumbuhan industri automotif tempatan

STESEN pengecasan pantas Tesla di tempat letak kereta di pusat beli belah Pavilion Kuala Lumpur. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: kehadiran Tesla di Malaysia akan menyumbang kepada pertumbuhan industri automotif tempatan terutama­nya dari segi ekosistem rantaian bekalan, menurut pakar ekonomi.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan boleh terlibat segi menjadi pembekal komponen dan penyedia perkhidmatan kepada Tesla, termasuk hab kenderaan elektrik (EV) yang akan dibangunkan oleh Geely di Tanjung Malim.

“Dari segi persaingan, mungkin tidak ketara kerana bilangan kereta yang akan dijual oleh Tesla masih lagi minimum,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Tesla telah mengumumkan pelan pengembangan strategik ke pasaran Malaysia membabitkan pembukaan pusat pameran, perkhidmatan dan sokongan, selain infrastruktur berkaitan pengecasan di negara ini.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaburan AS$10 bilion (RM45.4 bilion) oleh Geely bagi membangunkan Tanjung Malim, Perak sebagai auto city terbesar di rantau ini.

Sementara itu, firma penyelidikan Kenanga Research menyifatkan kehadiran Tesla di Malaysia bakal mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran dan bergaji lebih menarik dalam segmen bateri EV dan peningkatan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem berkenaan.

Malah ia menjangka, kemunculan EV Tesla di pasaran tempatan tidak memberikan impak ketara kepada industri automotif tempatan dalam masa terdekat.

Menurutnya, Model Y Tesla ditetapkan pada harga RM199,000 hingga RM288,000 berbanding pesaing dalam segmen SUV kompak yang dipasarkan pada harga lebih rendah.

Katanya lagi, ini kerana, lebih daripada 70 peratus kenderaan yang dijual di dalam negara berharga kurang daripada RM100,000, termasuk hampir 40 peratus di bawah RM50,000.

“Kami mengekalkan (penarafan) overweight pada sektor automotif,” katanya dalam nota penyelidikan.

Kenanga Research juga menyifatkan EV Tesla itu jauh daripada kategori harga berpatutan serta berupaya menggantikan kehadiran kenderaan yang dipacu oleh enjin pembakaran secara dalaman (ICE).

“Dalam keadaan seperti ke­kurangan stesen pengecasan EV sehingga strategi holistik bagi membangunkan ekosistem EV yang mantap, apa yang pasti, kenderaan ICE masih lagi dominan,” katanya.

Menurut Kenanga, Perodua yang menguasai hampir 50 peratus daripada jumlah ke­seluruhan industri tempatan (TIV), akan lebih menumpukan kepada kereta hibrid (dijangka di bawah harga RM70,000) bagi membina kepakaran tempatan.

Bermaz Auto pula katanya, telah menyatakan hasratnya untuk terus memantau perkembangan ekosistem EV secara teliti, seiring dengan komitmen dan bersaing dengan jenama EV lain menerusi pelancaran pelbagai model EV siap dipasang (CBU) baharu.

Dalam pada itu, Kenanga Research mengekalkan unjuran TIV tahun ini sebanyak 720,000 unit, menyamai rekod yang dicapai tahun lalu, didorong oleh keyakinan pengguna yang kukuh disokong oleh ekonomi yang stabil dan pasaran pekerjaan yang sihat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN