Inflasi Jun 2.4 peratus, terendah tahun ini

Inflasi Jun 2.4 peratus, terendah tahun ini

ORANG ramai membeli ayam di Pasar Jalan Raja Bot, Chow Kit. - GAMBAR HIASAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inflasi Malaysia pada Jun mereda kepada 2.4 peratus daripada 2.8 peratus Mei lalu, terendah dalam enam bulan pertama 2023 dengan mata indeks mencatatkan 130.4 berbanding 127.4 bulan sama tahun lalu, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut DOSM, kadar inflasi itu lebih rendah berbanding beberapa negara lain di rantau Asia Pasifik seperti Korea, Indonesia dan Filipina. Malah, ia juga lebih rendah berbanding inflasi di Zon Eropah pada 5.5 peratus dan Amerika Syarikat 3.0 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan perlahan inflasi didorong oleh peningkatan lebih rendah bagi kumpulan Restoran dan Hotel sebanyak 5.4 peratus (Mei: 6.7 peratus); Makanan dan Minuman Bukan Alkohol 4.7 peratus (Mei: 5.9 peratus) dan Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah 2.3 peratus (Mei: 2.7 peratus).

Selain itu katanya, kenaikan inflasi turut didorong oleh pe­ningkatan bagi kumpulan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (2.6 peratus); Kesihatan (2.0 peratus) dan Pendidikan (1.9 peratus).

“Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain dan Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan pula masing-masing meningkat 1.8 peratus dan 1.6 peratus. Ini dikuti oleh Minuman Alkohol dan Tembakau (0.6 peratus) dan Pakaian dan Kasut (0.1 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Tambah Mohd. Uzir, kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Jun yang telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 4.7 peratus (Mei: 5.9 peratus).

Jelas beliau, komponen Makanan di rumah merekodkan peningkatan lebih rendah untuk empat bulan berturut-turut kepada 3.2 peratus pada Jun 2023 berbanding 4.3 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya. Manakala, bagi komponen Makanan di luar rumah mereda kepada 6.8 peratus berbanding 8.1 peratus yang direkodkan pada Mei 2023.

Kenaikan komponen Makan di rumah didorong terutamanya oleh subkumpulan Susu, keju dan telur (6.0 peratus); Beras, roti dan bijirin lain (5.3 peratus); Daging (5.2 peratus); Gula, jem, madu, coklat dan manisan (3.6 peratus); kedua-dua subkumpulan buah-buahan dan ikan dan makanan laut masing-masing meningkat sebanyak 2.9 peratus dan 1.6 peratus.

Selain itu, Sayur-sayuran dan Minyak dan lemak masing-ma­sing terus menurun kepada -1.6 peratus dan -0.9 peratus.

Mohd. Uzir berkata, inflasi Pengangkutan bagi Jun 2023, kekal tidak berubah dengan subkumpulan perkhidmatan pe­ngangkutan dan pembelian kenderaan masing-masing me­ningkat sebanyak 5.2 peratus dan 1.9 peratus.

“Namun begitu, penurunan inflasi subkumpulan Pengurusan alat pengangkutan persendirian sebanyak negatif 0.6 peratus, sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi kumpulan ini dari meningkat. Penurunan subkumpulan Pengurusan alat pengangkutan persendirian disumbangkan oleh penurunan kelas perbelanjaan Bahan api dan pelincir untuk pengangkutan persendirian kepada negatif 3.8 peratus berbanding negatif 2.4 peratus pada Mei 2023.

“Selain itu, penurunan harga minyak Petrol tanpa plumbum RON97 kepada negatif 29.4 peratus pada Jun 2023 (RM3.37 seliter) berbanding Jun 2022 (RM4.77 seliter) turut menyumbang kepada penurunan kelas perbelanjaan ini,” katanya.

Mohd. Uzir turut berkata, bagi inflasi di peringkat negeri, 10 negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 2.4 peratus dengan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 1.2 peratus.

Walau bagaimanapun, enam negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Sarawak (3.0 peratus), Pahang (2.9 peratus), Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.8 peratus), Selangor (2.7 peratus), Perak (2.7 peratus) dan Melaka (2.7 peratus).

Ketua Perangkawan berkata, inflasi teras mengukur perubahan harga barang dan perkhid­matan yang tidak termasuk item makanan segar yang tidak menentu dari segi harga serta barang dan perkhidmatan yang tertakluk dengan kawalan harga dari kerajaan meningkat 3.1 pe­ratus (Mei 2023: 3.5 peratus).

Inflasi keseluruhan secara bulanan pada Jun 2023 meningkat 0.2 peratus berkadaran sama seperti direkodkan pada Mei 2023. Ini disumbangkan terutamanya oleh Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan (0.3 pera­tus), Kesihatan (0.2 peratus) dan Pengangkutan (0.2 peratus).

“Sementara itu, inflasi bagi suku tahun kedua 2023 meningkat 2.8 peratus kepada 130.2 berbanding 126.6 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya. Bagi perbandingan suku tahunan pula, inflasi meningkat 0.4 peratus berbanding pada suku tahun pertama 2023,” jelas beliau. – UTUSAN

 

Infografik

=======

Indeks Harga Pengguna (IHP)/Bulan     Kadar (%)

Jun                                                          2.4

Mei                                                         2.8

April                                                        3.3

Mac                                                        3.4

Februari                                                  3.7

Januari                                                   3.7

Disember 2022                                      3.8

** SUMBER: JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN