UEM rancang bangunkan program SRI bernilai RM7bilion

Industri Hijau: UEM rancang bangunkan program SRI bernilai RM7bilion

MOHD. IZANI GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UEM Group Berhad, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), merancang membangunkan program sukuk mampan dan bertanggungjawab (SRI) bernilai RM7 bilion bagi membiayai usaha syarikat ke dalam industri hijau.

Matlamat itu bagi mewujudkan jaguh hijau tempatan, memacu agenda dekarbonasi negara serta mencipta peluang pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat Malaysia.

Bagi tujuan itu, UEM Group telah menubuhkan anak syarikat baharu, UEM Lestra Berhad yang akan menerajui operasi dalam industri berkenaan.

Menurut kenyataan UEM Group, menerusi UEM Lestra, fokus Kumpulan bagi tempoh lima tahun akan datang (2023 hingga 2027), adalah untuk memantapkan serta memacu pertumbuhan organik aset hijau milik anak-anak syarikatnya dan membangunkan syarikat tempatan yang berkebolehan dalam industri hijau.

Kumpulan, di samping itu, merangka kerjasama strategik termasuk usahasama bagi menjayakan projek-projek dalam empat kategori berikut:
 Tenaga boleh diperbaharui (RE) dan infrastruktur penyimpanan seperti ladang solar, kilang hidro mini dan biogas.
 Penyelesaian tenaga bersepadu – perkhidmatan bangunan hijau, perkhidmatan tenaga menyeluruh seperti teknologi penjanaan tenaga teragih dan perkhidmatan berkaitan kecekapan tenaga.
 Mobiliti hijau atau elektrik termasuk penyelenggaraan dan perkhidmatan melibatkan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik.
 Pengurusan sisa dan kitar semula termasuk rawatan dan pelupusan sisa.

Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, sejak sekian lama, UEM Group telah memainkan peranan dalam menjayakan agenda pembangunan negara bangsa.

“Dan kini, peranan tersebut akan diteruskan dengan tum­puan yang lebih bersasar ke arah usaha menangani perubahan iklim dengan menyokong serta membangunkan industri hijau negara merangkumi tenaga boleh diperbaharui (RE), pe­ngurusan sisa serta infrastruktur dan pengangkutan hijau,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, UEM Group merancang untuk memperkasakan ekosistem ekonomi tempatan dan membangunkan sebuah perniagaan hijau yang berdaya saing menerusi pendekatan pemilikan yang aktif dan secara terus, sekaligus menghasilkan pulangan komersial.

Jelasnya, syarikat telah me­ngenal pasti beberapa syarikat tenaga hijau tempatan dan antarabangsa dengan rekod kerja cemerlang serta terkemuka dalam negara yang memerlukan penglibatan pelabur strategik untuk mengembangkan operasi mereka.

Di samping itu, tambah beliau, syarikat juga sedang dalam perbincangan dengan beberapa pelabur asing yang berminat untuk melabur dalam memba­ngunkan RE di Malaysia, di mana butiran lanjut akan diumumkan menjelang akhir tahun ini.

“Kami berhasrat untuk me­nerajui agenda dekarbonisasi Malaysia dan ini termasuk membantu usaha Kerajaan dalam beralih ke penyelesaian tenaga mampan serta aspirasi untuk menjadi negara neutral karbon, di samping mencapai 70 peratus kapasiti RE dalam penjanaan elektrik negara menjelang 2050.

“Kami juga akan menggiatkan usaha untuk memantapkan keupayaan hijau tempatan dalam jangka masa panjang dan meningkatkan daya saing negara menerusi peningkatan kemahiran serta pembangunan tenaga kerja tempatan. UEM Group bukan sahaja ingin mencipta lebih banyak pekerjaan, tetapi juga menawarkan peluang pekerjaan yang berkualiti tinggi,” jelas Mohd. Izani.

UEM Group, ditubuhkan pada 1966 dan bertanggungjawab merealisasikan pelbagai projek infrastruktur utama negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN