Grantt Lubricants lindungi enjin semua jenis kenderaan

Grantt Lubricants lindungi enjin semua jenis kenderaan

ANAS Nasrun Mohd. Osman ketika ditemui di kilang minyak pelincir Grantt di UMW Grantt International Sdn. Bhd. di Pulau Indah, Klang baru-baru ini. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Lebih 50 produk minyak enjin untuk semua jenis kende­raan menjadikan Grantt Lubricants, keluaran dari Kumpulan UMW sesuai untuk digunakan untuk pengguna yang memiliki sebuah atau lebih kereta dan motosikal.

Malah, minyak keluaran Grantt Lubricants amat sesuai bagi kenderaan berada dalam iklim panas dan lembab seper­ti Malaysia yang memberikan lebih daya tahan kepada ke­upayaan dan jangka hayat enjin kenderaan.

Pengarah Kumpulan bahagian Pembuatan dan Kejuruteraan UMW, Anas Nasrun Mohd Osman berkata, lebih 30 juta liter minyak berjenama itu sudah pun berada dalam pasaran sejak dilancarkan pada 2015 dan memasuki pasaran serantau seperti di Singapura, Brunei, Myanmar, Vietnam dan Cambodia.

“Minyak jenama Grantt Lubricants merupakan produk buatan Malaysia yang di­adun dengan aditif dan minyak asas berkualiti yang mendapat pengiktirafan daripada American Petroleum Institute (API) sebagai piawaian penggunaan di peringkat antarabangsa.

“Yang dikatakan sesuai untuk pengguna apabila Grantt Lubricants mengeluarkan produk untuk menepati keperluan semua jenis dan usia kenderaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

ANAS Nasrun Mohd. Osman menunjukkan minyak pelincir Grantt buatan Malaysia keluaran UMW Grantt International Sdn. Bhd. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF

Beliau menambah, selain kenderaan persendirian, minyak keluaran jenama itu juga menerajui penjagaan enjin bagi kenderaan perdagangan dan jentera.

Jelas Anas Nasrun, pengeluaran minyak Grantt Lubricants juga mematuhi piawaian pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dengan mempraktikkan dasar Alam Sekitar, Sosial dan Pentadbiran (ESG).

“Kita mempunyai produk berasaskan bio seperti minyak hidraulik (Bio VG 46 dan VG 68) yang menggunakan minyak asas daripada kelapa sawit tempatan yang dikeluarkan sejak Oktober tahun lalu.

“Kita juga akan mengeluarkan minyak hidraulik dan gris yang sesuai untuk kegunaan jentera dalam sektor pengelua­ran makanan kerana apabila berasaskan bio, pemeruapannya tidak menyebabkan pelepasan bahan kimia berbahaya,” ujar­nya.

Dalam pada itu, selain me­nyasarkan pasaran dalam sektor runcit, beliau turut memaklumkan Grantt Lubricants melaksanakan strategi pemasaran seperti business to business (B2B) dan business to government (B2G).

Katanya lagi, Grantt Lubricants mempunyai lebih 300 pengedar di seluruh rantau serta menawarkan minyak enjin dan jentera, gris serta minyak hidraulik pada harga yang berpatutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN