PETALING JAYA: Syarikat pakar instrumentasi dan pengujian geoteknikal, Glostrext Berhad (Glostrext) menjangka mengumpul sejumlah RM20.1 juta menerusi langkah penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).
Menurut kenyataannya, syarikat merancang untuk menggunakan RM11.7 juta (58.2 peratus) daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) bagi tujuan mengembangkan perniagaan instrumentasi dan pemantauan struktur serta daratan ke Singapura, selain bagi tujuan modal kerja.
Sejumlah RM1.8 juta (sembilan peratus) pula akan digunakan bagi membiayai aktiviti penyelidikan serta pembangunan untuk meningkatkan lagi aspek automasi dan ketepatan tawaran perkhidmatannya.
Baki daripada hasil itu akan digunakan bagi tujuan pembayaran balik pinjaman berjumlah RM3.3 juta (16.4 peratus) serta bagi menampung perbelanjaan penyenaraian yang dianggarkan sebanyak RM3.3 juta (16.4 peratus).
Pengarah Urusannya, Ir. Dr. Lee Sieng Kai berkata, syarikat akan memberi tumpuan kepada usaha mempromosi perkhidmatan instrumentasi dan pemantauan struktur dan daratan luar lapangan di Singapura dengan menggunakan platform Glostrext WiNA.
Katanya, penawaran tersebut adalah sejajar dengan trend semasa apabila semakin banyak perniagaan dan syarikat kini memerlukan automasi untuk meningkatkan kecekapan operasi serta mengurangkan kebergantungan ke atas tenaga kerja.
“Rancangan pengembangan itu juga seiring dengan keperluan instrumentasi dan pemantauan struktur dan daratan untuk semua bangunan dan infrastruktur di Singapura yang merupakan satu yang mandatori pada 2008 di bawah Peraturan Kawalan Bangunan 2003.
“Kami menjangkakan dapat menyediakan perkhidmatan terbabit kepada projek-projek yang telah siap atau masih dijalankan yang membabitkan bangunan komersial, bangunan kediaman, bangunan perindustrian dan infrastruktur,” katanya.
Tambahnya, melalui penyenaraian itu, Glostrext akan menerbitkan sebanyak 105.8 juta saham-saham baharu, mewakili sebanyak 26 peratus daripada modal saham ditambah pada harga terbitan RM0.19 sesaham.
Daripada 105.8 juta saham terbitan, sebanyak 20.4 juta saham terbitan akan disediakan untuk rakyat Malaysia menerusi pengundian dan 10.2 juta saham terbitan untuk pengarah dan pekerja yang layak serta mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan Glostrext di bawah Peruntukan Borang Merah Jambu.
Sementara itu, baki 75.3 juta saham terbitan dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur yang terpilih.
Sebagai sebahagian daripada langkah penyenaraian itu, pemegang saham sedia ada syarikat turut melakukan tawaran jualan sebanyak 16.3 juta saham-saham sedia ada kepada pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian.
Berdasarkan kepada tambahan modal saham sebanyak 407 juta saham, Glostrext dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM77.3 juta selepas penyenaraian tersebut.
IPO tersebut dibuka untuk langganan mulai hari ini sehingga 2 Ogos 2023.
Selain itu, M & A Securities Sdn Bhd adalah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi langkah penyenaraian itu. – UTUSAN