SONG: Seorang maut, seorang cedera dan tiga lagi tidak mengalami kecederaan selepas pikap dinaiki mereka terjatuh ke dalam gaung di Jalan Musah Kajah, di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata kejadian dilaporkan kira-kira pukul 7.50 malam tadi dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song segera dikerahkan ke lokasi jalan balak itu, yang terletak sejauh 45 kilometer dari balai.
Katanya setibanya pasukan bomba di lokasi mendapati pikap dinaiki kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 43 hingga 80 tahun terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter.
“Seorang mangsa meninggal dunia akibat dihempap kenderaan dan seorang lagi mengalami kecederaan dan telah dihantar oleh orang awam ke Hospital Kanowit.
“Manakala tiga orang lagi tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Menjelas lanjut, beliau berkata pasukan bomba dan anggota polis yang berada di tempat kejadian turut meminta bantuan daripada pihak syarikat pembalakan di situ untuk menggunakan jentolak bagi membuat laluan ke tempat kenderaan terbabit jatuh dan seterusnya menarik kenderaan tersebut ke tempat yang selamat.
“Pasukan bomba seterusnya bertindak mengambil mangsa dan meletakkan mangsa di atas pengusung.
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.-UTUSAN










